Exco saran tukar getah sekerap kepada lateks

Azman (tiga kanan) mendengar penerangan daripada Risda berkaitan pemprosesan lateks.
Azman (tiga kanan) mendengar penerangan daripada Risda berkaitan pemprosesan lateks.
A
A
A

SIK - Penoreh getah di negeri ini disaran menukar hasil pendapatan getah sekerap kepada lateks.

Exco Pertanian, Azman Nasrudin berkata, kerajaan sangat menggalakkan penoreh berbuat demikian kerana pendapatan diraih daripada lateks lebih baik daripada getah sekerap.

Menurutnya, penoreh yang mengusahakan lateks dapat menjana keuntungan melebihi 30 peratus berbanding getah sekerap.

"Selepas tolak kandungan air dan sebagainya, berat bersih RM5.20 sekilogram. Secara keseluruhannya penoreh boleh memperoleh lebih RM5 untuk sekilogram.

"Berbanding getah sekerap, jika kita campur Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pun baru dapat RM2.50 sekilogram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kasih Pekebun Sempena Program Gerakan Produktiviti Peringkat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Sik di Depo Pengumpulan Getah dan Lateks Kampung Selamat Mukim Teloi hari ini.

Azman (duduk tiga kanan) bersama penoreh getah Kampung Selamat.
Azman (duduk tiga kanan) bersama penoreh getah Kampung Selamat.

Bagaimanapun, kata Azman, penoreh perlu lebih berusaha untuk mendapatkan lateks.

Artikel Berkaitan:

"Untuk dapatkan lateks, susu getah perlu dikutip segera. Selepas menoreh selepas waktu Subuh, susu getah perlu dikutip pada jam 11 pagi setiap hari berbanding sekerap yang dikutip beberapa hari selepas menoreh," katanya.

Selain itu, beliau turut memuji usaha penduduk Kampung Selamat kerana mengambil inisiatif mengusahakan pengeluaran lateks.

"Ini perlu dijadikan contoh kepada penoreh-penoreh getah yang lain sebagai cara untuk menambah pendapatan," katanya.

Menurutnya, jika pengeluaran susu getah di Kedah meningkat, kerajaan akan berusaha membuka semula kilang susu getah di negeri ini.

Katanya, ramai penoreh lebih menumpukan pengeluaran getah sekerap menyebabkan tiada pihak membeli susu getah.