Melayu malas: Ambil iktibar, usah salah anggap

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahahir Mohamad yang menegaskan bahawa orang Melayu masih lagi malas tidak harus disalah anggap sebagai menghina atau merendah-rendahkan kebolehan serta kemampuan bangsa itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Abu Bakar Yahya sebaliknya mahu orang Melayu menghayati secara tersirat dari sudut positif yang sebenarnya mahukan keupayaan kaum itu diperkuatkan dengan melibatkan diri dalam semua sektor pekerjaan termasuklah yang dikuasai oleh warga asing ketika ini.

“Agak ironi juga apabila ada rakyat kita membantah kebanjiran tujuh juta warga asing yang masuk dan bekerja di negara ini. Sebaliknya, pekerjaan yang dilakukan oleh warga asing itu tidak pula kita mahu lakukan.

“Apa pun alasannya, orang Melayu mesti membuang sikap negatif dan berusaha untuk meningkatkan sosio-ekonomi sendiri.

"Anggaplah pandangan Perdana Menteri itu sebagai cabaran untuk memperbaiki diri kita sendiri...tidak mungkin Dr Mahahir tidak sayangkan bangsanya,” katanya di sini hari ini.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu menambah, cabaran masa depan dijangka lebih kompleks dan sudah tentunya ia akan menuntut perubahan besar dari sudut pemikiran serta cara bekerja setiap individu rakyat khususnya orang Melayu.

Pada masa sama, kerajaan juga katanya tidak pernah mengenepikan tanggungjawab untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera sebagai agenda nasional sebagaimana penegasan Dr Mahathir pada 6 Julai lalu yang mahu mengembalikan semula Khazanah Nasional Berhad kepada peranannya yang asal.

“Pada pemahaman saya, pegangan ekuiti Bumiputera masih lagi pada kadar 22 peratus dan belum mencapai sasaran 30 peratus walaupun selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 49 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pasti apa silapnya. Cuma yang saya pasti untuk melepasi sasaran itu, ianya memerlukan kesedaran serta anjakan daripada setiap individu Bumiputera itu sendiri,” ujarnya.

Semalam, Dr Mahathir menyifatkan orang Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing.

Menurut Perdana Menteri, keengganan orang Melayu bekerja mendorong jutaan rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mendapatkan kerja selain melahirkan kebimbangan terhadap jurang kekayaan antara kaum di negara ini.