Tun M mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan

Dr Mahathir ketika mendengar pertanyaan daripada pengurusan Ritsumeikan di Sekolah Rendah Ritsumeikan sempena lawatan kerja ke Kyoto hari ini.
Dr Mahathir ketika mendengar pertanyaan daripada pengurusan Ritsumeikan di Sekolah Rendah Ritsumeikan sempena lawatan kerja ke Kyoto hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan.

Beliau berkata, Malaysia telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bagi terbitan bon tersebut, bagaimanapun kini terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan rundingan berkenaan.

"Terpulang kepada Menteri Kewangan, sebab dia yang menguruskan (bon Samurai),” katanya pada sidang media di Kyoto, Jepun yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Awani pada Sabtu.

Jepun kali ini menawarkan kadar faedah yang lebih rendah iaitu 0.5 peratus berbanding 0.63 peratus yang diberikan bagi pinjaman bon Samurai sebelum ini.

Mengenai pendapat pakar kewangan yang mengatakan langkah kerajaan menerbitkan bon baharu adalah berisiko tinggi, Mahathir berkata beliau tidak pernah bersetuju dengan pandangan pakar.

"Ada yang kata amat bahaya kalau kita guna bon Samurai kerana mungkin nilainya naik, itu satu kemungkinan tetapi kalau kita tidak tukar, kita guna pinjaman yang dikenakan kadar faedah enam hingga tujuh peratus maka itu akan tetap membebankan kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau mahu meneruskan terbitan itu namun pada masa sama akan mendengar pendapat pakar mengenainya.

"Saya mahu meneruskan ini (terbitan bon Samurai kedua), tetapi kita kena dengar pendapat pakar kerana saya bukan pakar...malah saya bukan pakar ekonomi...jadi pendapat saya berkenaan ekonomi pun tidak betul tetapi entah macam mana negara kita dapat dibangunkan semasa saya jadi perdana menteri dulu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kita tidak boleh berhutang daripada satu punca sahaja, kita mesti berhutang daripada banyak punca, kerana jika satu punca itu bermasalah, kita ada punca yang lain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nilai bon yang akan diterbitkan, Dr Mahathir berkata ia mungkin melebihi nilai terbitan pertama.

Malaysia menerbitkan pusingan pertama bon Samurai pada Mac lepas bernilai 200 bilion yen (kira-kira RM7.34 bilion) dengan tempoh matang 10 tahun. - Bernama