Mukhriz disaran mohon jawatan menteri Pusat jika terbeban

Laporan Sinar Harian 4 September lalu.
Laporan Sinar Harian 4 September lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir disaran melepaskan jawatan dan memohon jawatan menteri Pusat jika rasa terbeban menguruskan negeri ini disebabkan oleh beban hutang yang tinggi.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, umum tahu jumlah terbesar hutang kerajaan Kedah adalah bagi tujuan infra pembekalan air kepada orang ramai, yang sekarang dilihat sudah hampir mencapai ke setiap rumah penduduk Kedah.

Menurutnya, sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang suka menunding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang menyebabkan kepada hutang itu sudahpun berjangkit kepada Mukhriz, sedangkan beliau juga sebahagian daripada Menteri Besar Kedah di bawah BN selama tiga tahun.

"Kita fikirkan hanya Menteri Kewangan Lim Guan Eng sahaja yang suka sandiwara memainkan sentimen soal hutang kerajaan dahulu, Mukhriz juga sudah meletakkan dirinya serendah taraf Lim Guan Eng.

"Jika sudah rasa terbeban hendak uruskan negeri Kedah ini, ada baiknya Mukhriz lepaskan sahaja jawatan Menteri Besar dan mintalah jawatan menteri kerajaan Pusat yang lebih mudah," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, sejak dahulu lagi hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat adalah bersifat boleh diurus yang mana wujud sikap tolak ansur antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat apabila tiba soal pembayaran.

Menurutnya, beliau mempersoalkan apakah salah berhutang demi kemudahan rakyat dan adakah terbeban sekiranya rakyat mendapat kemudahan asas air yang bersih.

"Kerajaan Pusat di bawah pimpinan BN tidak pernah menekan kerajaan negeri melangsaikan hutang segera kerana memahami kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kenapa tiba-tiba Mukhriz pula kata beliau terbeban. Adakah beliau tidak faham dalam pengurusan negeri dan negara hutang itu adalah perkara normal," katanya.

Tambahnya, semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada April lepas, Mukhriz berkata kerajaan Pusat bersedia melupuskan hutang bekalan air Kedah berjumlah RM1.7 bilion dengan menukarnya kepada geran.

"Apa sudah jadi dengan hasrat kerajaan Pusat itu. Sudah lima bulan berlalu tanpa perkembangan lanjut. Atau cadangan kerajaan Pusat itu juga sudah jadi 'pusingan u'," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kerajaan Kedah mengakui tertekan dengan hutang-hutang besar kepada kerajaan Pusat yang diwarisi dari kerajaan negeri sebelumnya dan berusaha untuk menyelesaikannya sedikit demi sedikit.