Saarani dakwa tiga Exco Perak bermasalah

Saarani mendedahkan terdapat tiga Exco Perak yang bermasalah ketika program Moh Mengopi di Jalan Parit Haji Musa, Titi Serong di sini.
Saarani mendedahkan terdapat tiga Exco Perak yang bermasalah ketika program Moh Mengopi di Jalan Parit Haji Musa, Titi Serong di sini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak dikatakan semakin rapuh apabila tiga Exconya bermasalah.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, seorang daripada mereka sedang menanti perbicaraan mahkamah berhubung kes rogol, seorang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa terlibat kes rasuah manakala seorang lagi terlibat dalam usaha-usaha memujuk ADUN UMNO menyokongnya menjadi menteri besar.

"Kalau tiga itu bermasalah atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, maka mereka (Pakatan Harapan) akan tinggal 28 kerusi. Kita pembangkang juga ada 28 kerusi.

"Jadi keadaan itu boleh membuatkan kerajaan hilang kelayakan dan sekali gus Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tergantung.

"Pilihan yang ada pada menteri besar ketika itu hanyalah bubar DUN untuk memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya ketika berucap pada program Moh Mengopi di Jalan Parit Haji Musa, Titi Serong di sini.

Hadir sama sebagai panel program, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Pada 23 Ogos lalu, Paul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia bulan Julai 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada 13 Julai lalu, Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean membuat laporan polis ke atas seorang Exco Perak yang didakwa membocorkan kertas minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco bocor minit mesyuarat demi habuan

Sebelum ini, Abdul Aziz menafikan pembabitannya menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas dikaitkan dengan usaha memujuk ADUN-ADUN BN menjatuhkan menteri besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada usaha jatuhkan MB: Aziz Bari

Saarani berkata, jika PRN diadakan, UMNO dan Pas akan mengemukakan calon perpaduan ummah mereka yang dijangka memenangi 40 kerusi DUN di Perak.

"Selepas ini tak ada calon UMNO atau Pas, yang ada hanya calon perpaduan ummah. Penyokong UMNO dan Pas kena undi calon perpaduan ummah ini. Kita mesti menang di Parit Buntar.

"Inilah yang DAP dan rakan-rakan takut dengan perpaduan ummah dicetuskan UMNO dan Pas. Sebab itulah macam-macam tuduh dilemparkan terhadap kerjasama ini," katanya

Saarani berkata, rakyat perlu terus memberikan sokongan kepada kerjasama UMNO dan Pas bagi memastikan bukan sahaja kerajaan Perak ditukar tetapi Putrajaya turut diambil semula.