Polis tahan tiga lelaki, rampas dadah RM13,500

Nor Azmi (tengah) menunjukkan barang-barang yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam hari ini.
Nor Azmi (tengah) menunjukkan barang-barang yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis merampas dadah jenis heroin seberat 450.50 gram bernilai RM13,500 dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Panchang Bedena di sini semalam.

Dalam serbuan 5.35 petang itu, tiga suspek lelaki berusia 28, 34 dan 38 tahun dipercayai tokan dadah ditahan dalam serbuan itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mereka menjadikan bilik belakang di rumah itu sebagai tempat membungkus dadah.

"Ketika serbuan, tiga lelaki terbabit sedang leka membungkus dadah dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Polis turut menemui satu paket plastik lut sinar besar dan dua paket plastik lut sinar kecil mengandungi dadah jenis heroin di lantai bilik itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, polis turut menyita kereta Honda Odyssey, enam telefon bimbit, dua alat timbang elektronik dan lima jam tangan bernilai RM60,000.

Katanya, semua suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Sekinchan dan Sungai Panjang sejak dua tahun lalu.

"Hasil semakan polis mendapati ketiga-tiga suspek ada rekod jenayah lampau dengan suspek berusia 34 tahun mempunyai sembilan rekod berkaitan narkotik dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berusia 38 tahun pula mempunyai tiga rekod lampau narkotik dan jenayah sementara suspek berusia 28 tahun ada satu rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 13 September bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.