Bersatu jangan pandai tabur janji…

Rizam (berdiri tengah kanan) bersama kepimpinan Umno Bahagian Sabak Bernam pada Program Back to School di Pejabat Adun Sungai Air Tawar, di sini.
Rizam (berdiri tengah kanan) bersama kepimpinan Umno Bahagian Sabak Bernam pada Program Back to School di Pejabat Adun Sungai Air Tawar, di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Bersatu diingatkan supaya tidak hanya pandai menabur janji manis semata-mata untuk menggantikan Umno, sebaliknya perlu menunjukkan kesungguhan membela nasib kaum itu pada masa depan.

Ketua Pembangkang Dun Selangor, Rizam Ismail berkata, jika Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berasa parti itu mampu menggantikan survival Melayu, sudah tentu ia menjadi harapan kepada seluruh rakyat khususnya kaum itu di negara ini.

"Tetapi ia bukanlah hanya pada kata semata-mata, kerana yang penting ialah bagaimana parti (Bersatu) ini benar-benar berfungsi kepada orang Melayu.

"Dr Mahathir sendiri membuat pengakuan janji (manifesto PRU14 lalu) tidak semestinya tertunai," katanya pada Program Back to School di Pejabat Adun Sungai Air Tawar, di sini, hari ini.

Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar berkata, Bersatu seharusnya menunjukkan kesungguhan dan membuktikan terlebih dahulu bahawa parti itu mampu membela nasib kaum Melayu.

"Kita dalam Umno sudah mempunyai rekod yang begitu lama dan terbukti selama ini menjadi parti serta kerajaan yang memperjuangkan bukan saja orang Melayu tetapi seluruh kaum di negara kita," katanya.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai bekas ahli Umno yang diterima masuk dalam Bersatu tidak dibenarkan memegang jawatan sehingga PRU15, Rizam berkata, perkara itu terpulang kepada parti berkenan.

"Bagi saya, itu hak mereka dan ini juga adalah untuk pertimbangan mana-mana parti yang ingin menyertai Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah ingat apabila melompat, mereka boleh mengejar sesuatu jawatan tertinggi di dalam parti Bersatu," katanya.

Semalam, Dr Mahathir berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) memberitahu bekas ahli Umno yang diterima masuk dalam Bersatu hanya dibenar memegang jawatan selepas PRU15 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada budaya parti lama.

Beliau menegaskan, ini bagi meredakan keresahan ahli-ahli Bersatu yang takut 'bekas-bekas' ini akan membawa masuk budaya Umno.