X

Kindly register in order to view this article
!

46 belia berentap dalam Debaton Parlimen 2019 malam ini

A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 46 orang belia akan membahaskan usul berkaitan masa depan pekerja prekariat dalam Debaton Parlimen 2019 (Belia) pada malam ini.

Debat yang mengangkat tajuk 'Pekerja Prekariat dalam Ekonomi Gig' ini akan diadakan di Dewan Persidangan, Bangunan Parlimen dan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Bermula pada jam 8 malam, pendebat-pendebat berumur antara 16 dan 25 tahun dijangka membawa hujah-hujah konkrit untuk meyakinkan hadirin sebelum mereka mengundi untuk menyokong atau menentang usul.

Malaysiakini (Kini Events) sebagai penganjur utama berkata, usul pada malam ini akan membincangkan sama ada terdapat keperluan untuk kerajaan membaik pulih undang-undang pekerjaan sedia ada.

Menurunya, ia bagi melindungi dan menegakkan hak pekerja dalam bidang kerja berdasarkan kontrak yang semakin berkembang pesat.

"Format bagi program Debaton Parlimen 2019 adalah seramai 20 hingga 30 pendebat belia akan membentuk dua kumpulan mewakili kerajaan dan pembangkang. Tiga wakil daripada setiap kumpulan terpilih akan membentangkan hujah-hujah utama mereka dan akan dibahas balik oleh kumpulan perlawanan secara berselang-seli.

"Perdebatan malam ini merupakan sesi pertama daripada tiga sesi Debaton Parlimen 2019 (Belia) dianjurkan Malaysiakini dan Parlimen Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Parlimen dan ulang tahun ke-20 Malaysiakini yang bertujuan membantu belia lebih bersedia pada masa depan dan menjadi lebih celik politik.

Antara objektifnya adalah memberi peluang kepada semua peserta untuk menyatakan pendapat, menggalakkan belia berfikir secara kritikal dan membincangkan dasar-dasar yang akan memberi kesan kepada golongan muda hari ini.

Acara malam ini akan disiarkan secara langsung di halaman Facebook and Youtube rakan media rasmi termasuk Malaysiakini, KiniTV, Astro Awani, RTM, Sinar Harian dan Bernama.

Program Debaton Parlimen 2019 yang seterusnya akan diadakan di kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, dan Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah dengan topik 'Keselamatan Siber dan Privasi' dan 'Mengembalikan Kedudukan Sabah dan Sarawak'.