Ahli Amanah perlu beri teguran kepada pemimpin

Rawiyiah Zakaria berucap pada Konvensyen Wanita Amanah (Awan) Selangor Kali Ketiga yang berlangsung di Kelab Golf Bangi hari ini.
Rawiyiah Zakaria berucap pada Konvensyen Wanita Amanah (Awan) Selangor Kali Ketiga yang berlangsung di Kelab Golf Bangi hari ini.
A
A
A

BANGI - Ahli Amanah disaran untuk melontarkan kritikan dan teguran yang konstruktif kepada kepimpinan parti.

Ketua Wanita Amanah Selangor, Rawiyiah Zakaria berkata, setiap ahli perlu membudayakan teguran melalui surat rasmi kepada mana-mana kepimpinan parti dan bukan melalui media sosial yang dilihat tidak mencapai matlamat dikehendaki.

Menurutnya, teguran melalui media sosial bukan sahaja tersasar daripada konteks, bahkan menjadi barah kepada sesuatu kelemahan yang timbul.

"Contohnya, medan konvensyen ini merupakan platform terbuka untuk setiap ahli meluahkan pandangan dan ketidakpuasan hati terhadap pencapaian serta perkhidmatan pemimpin terlibat.

"Mulai hari ini, barisan kepimpinan Amanah juga perlu berlapang dada dalam mendepani ahli parti yang memberi kritikan supaya penambahbaikan dapat dilakukan dalam parti ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Wanita Amanah (Awan) Selangor Kali Ketiga yang berlangsung di Kelab Golf Bangi hari ini.

Hadir sama, Ketua Awan Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim.

Dalam pada itu, Rawiyiah berkata, Awan Selangor turut menyarankan supaya semua ahli di peringkat cawangan, kawasan dan sayap parti dapat mempergiatkan aktiviti sembang kopi secara maya serta realiti kepada orang ramai.

Tambahnya, dalam kondisi negara yang sedang melalui proses pemulihan, setiap ahli parti perlu memainkan peranan sebagai duta kecil kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

"Tanggungjawab utama sebagai ejen penerangan kerajaan ini perlu dimaksimumkan memandangkan pentadbiran pada era globalisasi ini penuh mencabar dengan penyebaran berita-berita palsu dan tidak tepat.

"Jadi kita perlu sentiasa proaktif dalam memberi penerangan terhadap sesuatu persoalan atau persepsi yang dibangkitkan rakyat," katanya.