Penunggang motosikal maut dirempuh treler

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah motosikal lain dan sebuah treler di KM55 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, mangsa, Fadly Latif, 37, yang menunggang motosikal dari arah Kluang ke Kota Tinggi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila motosikal ditunggangi mangsa telah terbabas ke lorong bertentangan setelah dilanggar sebuah motosikal dari belakang yang ditunggang seorang lelaki warga Indonesia.

“Sebuah lori treler yang ketika itu berada di laluan bertentangan kemudiannya gagal mengelak lalu merempuh mangsa terbabit.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal lelaki warga Indonesia itu mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Kluang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Abduh berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan itu adalah jalan lurus dua hala dan tidak mempunyai lampu jalan.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan. Kesemua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan akan dibawa ke Puspakom Kluang untuk pemeriksaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: