ABJAD FC, TPI FC timba ilmu di Akademi JDT

ABJAD FC yang terdiri daripada 53 pemain ditubuhkan di Baling pada Jun lalu dalam usaha menggilap bakat kanak-kanak melalui sukan bola sepak.
ABJAD FC yang terdiri daripada 53 pemain ditubuhkan di Baling pada Jun lalu dalam usaha menggilap bakat kanak-kanak melalui sukan bola sepak.
A
A
A

DUA pasukan bola sepak kanak-kanak yang merupakan anak angkat kepada Sinar Harian akan di bawa ke Akademi JDT pada 20 hingga 22 September depan dalam usaha memberi pendedahan lebih meluas dalam arena sukan berkenaan.

Pengurus Pemasaran Sinar Harian Utara, Sharul Afindi Samad berkata, 23 pemain yang berumur 11 dan 12 tahun itu juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemain U12 JDT.

“Dalam ‘Program Road To JDT’ itu nanti, semua pemain daripada ABJAD FC dan TPI FC akan menyertai klinik bola di Akademi JDT.

"Mereka akan diberikan pendedahan dan melihat serta merasai sendiri prasarana yang terdapat di situ.

“Pemain-pemain juga diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang U12 JDT dan melihat pemain JDT beraksi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, ABJAD FC yang disertai kanak-kanak berbakat besar dalam bola sepak di sekitar Baling ditubuhkan pada Jun lalu manakala TPI FC ditubuhkan dua tahun lalu di Permatang Pauh.

TPI FC ditubuhkan dua tahun lalu dan mendapat perhatian daripada penduduk setempat di Permatang Pauh.
TPI FC ditubuhkan dua tahun lalu dan mendapat perhatian daripada penduduk setempat di Permatang Pauh.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua mereka berumur 12 tahun ke bawah. Mereka mempunyai bakat yang hebat dalam bola sepak,” katanya.

Sharul Afindi berkata, tujuan anak angkat ini ditubuhkan kerana Sinar Harian mahu melahirkan pelapis bola sepak di peringkat akar umbi.

“Pemain-pemain yang kita ada ini merupakan mereka yang tinggal di kampung dan melalui program anak angkat ini, mereka akan diberi pendedahan yang berguna bagi mengasah bakat yang mereka miliki.

“Kami percaya melalui program ini, kita akan melahirkan pemain berjiwa besar di peringkat akar umbi selain tidak mahu mensia-siakan bakat yang mereka miliki.

"Mungkin suatu hari nanti mereka boleh mewakili negeri dalam arena bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu Sharul Afindi berharap ramai individu atau syarikat dapat bersama Sinar Harian dalam menjayakan program akar umbi bola sepak ini.

“Kami mahu menubuhkan pasukan anak angkat ini di seluruh negeri.

"Jadi saya berharap ramai individu dan syarikat bersama-sama kami melahirkan pemain bola sepak yang berbakat besar,” katanya.