Pas Melaka arah ahli hadir program bersama Dr Zakir Naik

Poster penganjuran Malam Islam Bersatu di Masjid Cina Melaka, malam ini.
Poster penganjuran Malam Islam Bersatu di Masjid Cina Melaka, malam ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pas Melaka mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokongnya untuk menghadiri Malam Islam Bersatu yang dihadiri penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik di Masjid Cina Melaka di Krubong, malam ini.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai tanda sokongan parti itu secara terbuka kepada Zakir tanpa mengambil kira siapa penganjurnya.

"Ini bukan isu politik dan arahan itu dikeluarkan sebagai tanda sokongan Pas secara terbuka kepada beliau (Zakir) tanpa mengambil kira siapa penganjurnya," katanya ketika Sinar Harian, hari ini.

Kamaruddin turut menyelar sikap beberapa pemimpin DAP Melaka yang mengkritik penganjuran program tersebut.

"Saya minta wakil rakyat DAP berkenaan belajar menghormati agama penduduk majoriti rakyat Melaka. Zakir bukan penjenayah atau banduan seperti pendakwah Wan Ji.

"Tidak ada satu mahkamah pun dapat mengesahkan kesalahan beliau. Hakikatnya rakyat negeri ini amat berbangga dengan kehadirannya kali ini," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee sebelum ini menggesa semua pihak di Melaka mengikut semangat dan keputusan ketua menteri untuk mengharamkan pendakwah berkenaan daripada berceramah di negeri berkenaan.

Chee Yee yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka berkata, walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu namun beliau ialah individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi Masjid Cina Melaka berkata, penganjuran program tersebut tidak seharusnya dipolitikkan mana-mana pihak kerana ia adalah aktiviti keagamaan.

Malah, Polis Melaka juga tidak mempunyai halangan terhadap program itu kerana hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.

Tindakan Mohd Rafiq menjemput Dr Zakir turut tidak disenangi Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew apabila mendakwa peganjuran program tersebut atas kepentingan politik dan peribadi serta bertindak kononnya untuk menjadi 'wira' dalam memperkasa institusi Islam terutama di Melaka.

Kok Kiew yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau kesal terhadap Mohd Rafiq apabila mendakwa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu cuba mempolitikkan agama untuk kepentingan diri.