Kejayaan tewaskan Indonesia barakan semangat Harimau Malaya menentang UAE - Brendan Gan

Brendan Gan
Brendan Gan
A
A
A

KEMBALI menyarung jersi kebangsaan selepas tiga tahun dan menyaksikan Malaysia menumpaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta, malam kelmarin mungkin menjadi kenangan paling manis buat pemain tengah Hari, Brendan Gan.

Pemain Malaysia kelahiran Australia itu berkata, beliau amat gembira melihat skuad kebangsaan bangkit semula selepas ketinggalan satu gol sebelum mengatasi Garuda 3-2 sekali gus memberikan permulaan sempurna Malaysia pada kempen Pusingan Kedua Kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Tempoh tiga tahun yang telah saya lalui adalah tempoh yang sukar tetapi ia (kemenangan ini) bukan kerana saya semata-mata.

"Para pemain lain telah bermain secara luar biasa malam tadi dan pujian juga harus diberikan kepada para pemain lain," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam, setibanya dari Jakarta.

Menurutnya, kemenangan yang tidak dapat dilupakan itu menjadi penyuntik semangat kepada skuad kebangsaan sebelum bertemu ‘West Asian Giants’, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

"Saya fikir apa yang lebih baik ialah meraikan kemenangan ini dengan sikap positif kerana apabila kita datang ke Indonesia dan membawa pulang kemenangan, kita perlu mengambil beberapa aspek positif daripada perlawanan itu.

"Pertembungan dengan UAE nanti boleh jadi sangat sukar, tetapi kita tidak rugi apa-apa dan kita akan memberikan yang terbaik," kata pemain tengah Perak itu.

Brendan sempat bermain untuk 15 minit pertama sebelum diusung keluar ekoran kecederaan ACL semasa Malaysia tewas 0-3 kepada Indonesia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan di Solo pada 2016.

Artikel Berkaitan: