Kemerdekaan hawa nafsu

A
A
A

TEMA Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah Sayangi Malaysiaku. Tetapi beberapa isu yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah rakyat Malaysia khususnya ahli politik dan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti tidak menyayangi negara ini. Atas kepentingan sempit, cepat hilang sabar dan kehilangan pertimbangan, mereka terus membuat kenyataan sensitif dengan melukakan negara.

Secara ringkasnya setiap negara terutamanya negara sedang membangun yang mencapai kemerdekaan mempunyai dua jenis kemerdekaan. Pertama ialah kemerdekaan luaran membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan seperti di Malaysia yang membebaskan diri daripada British.

Jenis kemerdekaan kedua ialah memerdekakan negara daripada menekan atau menindas rakyat sendiri. Sesetengah negara selepas mencapai kemerdekaan, pemimpin mereka menjadikan negara tersebut sebagai hak milik sendiri dengan menggubal undang-undang supaya rakyat tidak boleh mengkritik dan menyuarakan bantahan.

Jika pemimpin pembangkang berkuasa mereka akan dipenjarakan dengan pelbagai akta yang digubal. Walaupun negara kita bukan sebuah negara dengan sistem totalitarian tetapi pada suatu ketika ada menggunakan akta-akta berbentuk autoritarian bersalut demokrasi. Ramai juga pemimpin pembangkang yang dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (sudah mansuh) dan Akta Hasutan dan terdapat mereka yang menjadi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan sekarang.

Sejak kerajaan PH mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu, kita telah mencapai suatu kemerdekaan yang begitu diinginkan iaitu kemerdekaan bersuara tetapi malangnya terdapat kalangan pemimpin politik dan NGO bagaikan 'kera mendapat bunga'.

Kemerdekaan bersuara dan menulis yang termaktub dalam Perkara II Perlembagaan Persekutuan (Artikel 10) yang memperuntukkan setiap warganegara mempunyai kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan buah fikiran mereka. Tetapi mereka telah menyalahgunakan dan mengambil kesempatan di atas kebebasan yang diberikan.

Dendam

Sejak isu jawi khat, Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dan kenyataan Dr Zakir Naik berhubung dengan tetamu dan pendatang, isu tentera Malaysia berpeluk tubuh, medan ruang siber khususnya di media sosial dan media online bersemarak hangat dengan luapan emosi dan hawa nafsu.

Masing-masing kaum dengan bersenjatakan ayat dan perkataan menghunus tajam mata pena papan kekunci menyatakan hasrat dan dendam yang terpendam.

Maka gejolak emosi dan hasrat yang ditampilkan di pentas siber ini umpama mesin di kilang yang setiap saat menghasilkan ayat-ayat yang menghunuskan tajam ingin menghujamkan mata pena ke hati manusia. Inilah revolusi yang melanda di negara ini sesuatu yang disekat oleh kerajaan BN dengan ancaman undang-undang tetapi dimuntah keluar lava kepanasannya pada zaman PH.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan di atas isu demi kepentingan parti dan perjuangan untuk meraih sokongan. Nafsu jahat mereka yang terus memekar bertujuan memecahbelahkan PH dengan kenyataan panas dengan niat lambakan emosi dan nafsu melanda negara supaya urusan pecah perintah dapat diuruskan. Ia mungkin datang daripada dalam PH sendiri atau pihak pembangkang atau gabungan PH dan pembangkang.

Oleh itu adakah ini pengisian sambutan hari kemerdekaan kita? Kemerdekaan hawa nafsu bagi kepentingan kaum, politik, kuasa bagi segelintir dengan mengetepikan negara dan pencapaian kemerdekaan. Ini adalah satu situasi yang amat menyedihkan. Bukan tidak boleh menyuarakan hak dan segala ketidakadilan tetapi jangan sampai membakar hati rakyat sampai mencetuskan rusuhan.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menakutkan penuh dengan perbuatan meraikan hawa nafsu. Ketika gumpalan demi gumpalan tenaga nafsu mengalir melalui saluran kepuasan maka yang terpenuh ialah Republik Hawa Nafsu.

Sekarang ini, kemerdekaan hawa nafsu memaksa manusia menelan apa saja (lambakan maklumat bercampur antara fitnah, penghinaan, propaganda, subversif dan seumpamanya) seolah-olah jika itu adalah laut, gunung, tanah, hutan apa-apa yang harus ditelan rakyat.

Revolusi kemerdekaan hawa nafsu bagi ahli-ahli politik dan mereka yang bersekongkol dengannya. Mereka ingin memenjarakan setiap rakyat dalam sebuah negara yang telah merdeka supaya terperangkap dalam dakyah mereka.

Adakah kita ingin meraikan sambutan kemerdekaan negara dengan dicemari hawa nafsu?