Tolak unsur cauvinisme perkauman

A
A
A

MENGAPA ramai ahli politik Malaysia gemar memainkan sentimen perkauman? Adakah kita terperangkap dengan parti berasaskan kaum dan politik perkauman?

Selepas 16 bulan rakyat menukar kerajaan, soalan-soalan ini malangnya masih menghantui kita kerana ia terus berlaku dalam pelbagai isu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pernah dilaporkan mengatakan ahli politik muda Malaysia terpaksa mengikut rentak permainan politik perkauman walaupun tidak ada unsur cauvinisme dalam diri mereka.

Melihat keputusan 'perkauman' seperti ini dibuat oleh beberapa ahli politik secara sedar dan sengaja, sebahagiannya sepatutnya muda, pintar, sederhana atau reformis. Mereka terus berada dalam arena politik kerana pengundi dan anggota parti memilih untuk mengekalkan mereka.

Akan berlaku kitaran – mereka bercakap tentang perpaduan bila tiba pilihan raya umum, tetapi apabila tiba pemilihan parti, kerana mereka berada di dalam parti yang terdiri daripada satu kaum, maka mereka akan menjadi jaguh kaum mereka.

Hal ini tidak bermakna permainan politik perkauman adalah satu-satunya pilihan yang ada di Malaysia.

Sebaliknya, saya berpendapat kejayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan bahawa ada jalan lain untuk politik Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Keputusan untuk membentuk parti berbilang kaum dengan platform berbilang kaum yang disokong oleh Deklarasi Permatang Pauh merupakan keputusan sedar oleh pengasas dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai yang rapat dengannya telah menentangnya. Mereka beranggapan ia umpama membunuh diri dengan keadaan politik di Malaysia.

Tetapi keputusan itu bukan sahaja dibuat daripada pengalamannya dalam politik tetapi juga kesedarannya bahawa satu-satunya cara Malaysia benar-benar dapat berkembang adalah menerusi entiti yang akan memperjuangkan aspirasi semua rakyatnya.

Terdapat banyak laporan mengenai ‘kematian’ PKR.

Pada tahun 2013, kami memenangi kerusi di setiap negeri di Malaysia.

Pada 2018, selain menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat, PKR juga muncul sebagai yang parti paling berbilang kaum. Ahli Parlimen kami terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan Dusun.

PKR tidak pernah menyembunyikan aspek ideologi tunjang kami. Kami sentiasa berkempen secara terbuka dan dengan bangga pada ideologi itu. Selepas pembebasan Anwar, beliau menyeru peralihan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada tindakan afirmatif berasaskan keperluan.

Selepas pemulihan parti pada pilihan raya 2008, beliau mengisytiharkan sokongan kami terhadap Ketuanan Rakyat, bertentangan dengan Ketuanan Melayu, di Kampung Baru di tengah-tengah masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.

Ini dengan sendirinya memperlihatkan politik di Malaysia tidak semestinya dimainkan dengan sentimen perkauman semata-mata.

Sesetengah orang mendakwa bahawa PKR bersikap ‘kluk-klek’ dalam isu sensitif – bahawa kami tidak mempunyai jawapan konkrit pada soalan tersebut. Tetapi itu lebih mencerminkan fakta bahawa kami membahaskan isu-isu seperti dengan bersungguh-sungguh, dengan cara menghormati realiti pelbagai kaum dan kerangka demokrasi kita.

Ini mungkin tidak akan memuaskan para pengkritik kami tetapi kami percaya ini adalah cara terbaik untuk ke hadapan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

Hakikatnya parti monoetnik telah menghampakan kita semua. Mereka kelihatan kalis peluru buat masa ini, mereka juga mungkin akan kembali mendapatkan kuasa.

Tetapi tidak dapat dielakkan, mereka akan melalui kitaran yang sama: kekuatan yang membawa kepada kerakusan, rasa tamak dan rasuah, kemudian akan merosot dan jatuh – sebagaimana kitaran asabiyyah yang diulas oleh Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah.

Kelalaian mereka ketika berkuasa dan keengganan untuk menerima persaingan bermakna mereka pasti akan gagal.

Kerosakan yang mereka lakukan kepada rakyat Malaysia biasa termasuk orang Melayu dan negara ini amat nyata.

Apa yang disebut agenda bumiputera tidak boleh dicapai dengan sendirinya ia memerlukan sokongan rakyat Malaysia yang sepatutnya mempunyai pimpinan Melayu yang berwibawa dan berprinsip.

Apabila negara kita meraikan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, dua laluan berdiri di hadapan ahli politik dan pengundi mereka.

Salah satunya adalah laluan kepelbagaian kaum. Yang lain adalah cauvinisme kaum yang beracun.

Tetapi saya ulangi: politik perkauman dan parti berasaskan kaum bukanlah satu-satunya jalan yang kita ada. Pada alaf ke-21, sesungguhnya mereka yang memilih jalan itu akan dikutuk oleh sejarah.