Cadangan tentang Gojek

A
A
A

SAYA tidak ada masalah dengan Gojek, cuma ada beberapa perkara sahaja yang menghantui fikiran saya. Itupun jika saya bercadang untuk menaikinya.

Perkara yang menghantui saya ini tidaklah berapa besar jika dibandingkan dengan faktor keselamatan dan juga melibatkan kegawatan ekonomi dunia seperti yang digembar-gemburkan. Cuma permasalahan kecil.

Saya merupakan seorang pengguna pengangkutan awam yang tegar juga. Biasanya jika ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat saya akan menaiki bas sahaja. Kemudian apabila sampai ke Hentian Duta, saya akan menaiki Grab untuk pulang ke bilik sewa pula.

Dari bilik sewa untuk ke tempat mesyuarat, saya akan menaiki Grab lagi. Destinasi tujuan saya hampir sama sahaja ketika ke tempat mesyuarat. Dari Kerinchi akan ke Kajang.

Tambangnya ke Kajang ialah RM30 sehala. Pergi balik RM60 pula. Kerap kali juga pemandu Grab tidak memasukkan harga tol.

Walaupun saya pekerja lebuh raya, tetapi saya tetap perlu membayar tol juga. Tidak ada layanan istimewa.

Ketika menaiki Grab inilah saya akan berbual dengan pemandunya. Saya pernah menaiki Grab yang pemandunya tidak pernah berhenti-henti ketawa. Setiap kali dia menghabiskan ayatnya, akan disusuli pula dengan ketawa pula.

“Saya dahulu kerja JKR, ha ha ha. Sekarang sudah pencen, ha ha ha.”

Artikel Berkaitan:

“Oh, saya TA, tahu tak TA? ha ha ha. Orang putih kata technical assistant, ha ha ha. Orang panggil apa tu, pembantu jurutera, ha ha ha.”

“Saya juga dah tiga tahun bawa Grab, ha ha ha.”

“Oh begitu, ha ha ha,” jawab saya yang telah berjangkit dengan sindrom ketawanya pula.

Pernah juga dalam satu hari saya menaiki Grab tiga kali berturut-turut. Dan saya akan bertemu dan berbual dengan pelbagai ragam pemandu.

Ada pemandu yang tidak banyak bercakap pun. Sepatah ditanya, sepatah jua yang dijawabnya. Mungkin orangnya pemalu, agaknya.

“Encik Faisal ya?”

“Ya.”

“Kajang?”

“Ya,” jawab saya lagi terpaksa mengikut rentaknya pula.

Ada juga pemandu yang suka bercerita tentang kisah kehidupannya dahulu kala, kisah keluarganya dan kisah orang lain juga.

Pemandu yang saya temui baru-baru ini memberitahu tentang seorang kawan baiknya yang meninggal dunia diserang sakit jantung pula.

“Kawan baik saya tu, masa tu tengah memandu. Tiba-tiba kena serangan jantung. Keretanya hentam belakang lori, habis,” kata pemandu yang berasal dari Terengganu itu.

Pilihan

Maka, jika saya hendak memilih Gojek nanti, mungkin saya tidak lagi dapat bercakap dengan pemandunya. Mungkin juga kalau hendak bercakap pun saya terpaksa menjerit pula.

Topi keledar bercermin menutup muka akan menyebabkan percakapan tidak dapat didengar.

Kalaupun hendak bercakap, terpaksa diangkat cermin itu terlebih dahulu. Tetapi mengikut pengalaman saya, hendaklah elakkan daripada bercakap dengan orang di hadapan ketika membonceng motosikal. Ini kerana jika dia menyambut perbualan kita, air liurnya akan terpercik ke muka pula.

Justeru, untuk memastikan Gojek itu dijalankan di negara kita dengan lancar dan selamat dan pada masa sama, perhubungan silaturahim dapat dieratkan, maka eloklah topi keledar itu diletak alat radio frekuensi juga.

Seperti pelumba motor profesional maka pembonceng boleh berbual dengan pemandu juga. Mana tahu jika pemandu tersilap jalan, kita boleh menegurnya melalui radio atau alat perhubungan suara itu.

Pada masa sama, saya ingin cadangkan lagi, elok dipasangkan kotak perakam hitam seperti kapal terbang penumpang juga.

Jika berlaku sesuatu, bolehlah dicari kotak hitam itu supaya kejadian sebenar yang berlaku dapat diketahui jika terlibat dengan kemalangan.

Jalan motor di Malaysia ini sangat bahaya juga. Ada lubang, ada perompak yang bersembunyi, orang gila melintas dan juga tanpa disangka-sangka, tiba-tiba ada biawak melintas pula. Maka menteri perlu memberi perhatian juga.

Selain itu, saya berharap akan dibekalkan alat perlindungan lutut juga. Perlindungan lutut ini amat penting, untuk melindungi lutut kita daripada bergesel dengan kereta lain.

Semoga Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat memasukkan cadangan saya ini dalam mesyuarat Kabinet atau membentangkan isu kecil saya ini di Parlimen nanti. Eh, YB Syed Saddiq atau YB Anthony Loke?

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.