Songkok tak letak di kaki

A
A
A

SEWAKTU di sekolah rendah dahulu, arwah cikgu saya pernah bertanya soalan kepada kami, “Kenapa agaknya songkok tidak diletakkan di kaki?”.

Pelbagai jawapan diberikan oleh para pelajar, maklumlah bukan senang nak jawab soalan sebegitu.

Antara jawapan yang menarik ialah, “Hanya orang tidak siuman sahaja yang letak songkok di kaki."

Pun begitu, cikgu saya tersenyum sahaja dengan jawapan tersebut.

Menurut beliau, adalah tidak adil jika songkok diletakkan di kaki kerana tempat yang selayaknya adalah di kepala.

Ini bermakna, jika sesuatu perkara itu diletakkan pada tempatnya, barulah boleh dikatakan adil.

Sebetulnya, istilah adil bukannya bermaksud sama, namun lebih kepada meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pun begitu, bukan mudah untuk berlaku adil jika kita tidak memperhalusi isu itu dengan sedalam-dalamnya.

Jika kita kaitkan konsep keadilan dengan ekosistem kehidupan, seekor burung bukannya perlu dijamu dengan pelbagai jenis makanan seperti mana kita makan seharian.

Artikel Berkaitan:

Mereka hanya perlu dibekalkan segenggam beras. Begitu juga dengan seekor kucing, bukan banyak pun makanan perlu disediakan untuk mereka, hanya cukup dengan sepinggan nasi berlauk cebisan ikan.

Namun, jika hak sebegini pun tidak dapat disediakan kepada mereka, maka boleh dikatakan secara mutlak kita sudah tidak berlaku adil.

Begitulah juga dengan individu serta kelompok yang miskin, golongan itu bukannya mahu naik kereta besar, memiliki rumah yang tersergam indah serta makan makanan yang sedap.

Mereka perlu hidup dengan selesa sahaja. Sekurang-kurangnya, mereka ada tempat tinggal yang selamat, boleh makan secara sederhana dan anak-anak dapat belajar dengan sempurna.

Menurut beberapa kajian tentang tahap kemiskinan di negara kita hari ini mendapati tahap kemiskinan penduduk di bandar sudah semakin serius.

Apatah lagi, hampir 75 peratus rakyat Malaysia hari ini tinggal di bandar. Malah baru-baru ini, ramai golongan tertentu telah melatah dengan laporan yang dikemukakan oleh United Nations Special Rapporteur (UNSR) yang mempertikaikan takrifan kemiskinan di Malaysia.

Menurut laporan tersebut, jika pada tahun 1977 pendapatan kasar negara adalah RM200 sebulan dan pendapatan garis kemiskinan adalah sekitar RM50 per individu, sepatutnya pendapatan garis kemiskinan negara ditingkatkan kepada RM2,550 dan bukannya sebanyak RM980 (bilangan empat ahli dalam sebuah keluarga).

Peningkatan itu adalah selaras dengan pendapatan kasar negara terkini yang telah meningkat kepada RM3,800 sebulan.

Ini bermakna peratus kemiskinan negara sepatutnya meningkat sebanyak 15 peratus dan bukannya lagi di bawah 1 peratus.

Pada hemat saya, bukannya ketepatan statistik yang perlu dipertikaikan, sebaliknya isu ini sudah menjadi hakikat sebenar yang perlu ditangani secara serius.

Apa yang jelas, kita tidak lagi boleh menyelesaikan kes ini seumpama menabur makanan kepada sekelompok ayam secara sekali gus.

Ini kerana akan ada ayam-ayam yang dominan mengambil kesempatan untuk menghambat ayam-ayam yang kerdil dan penakut supaya tidak menjamah makanan yang ditabur tadi.

Pengajarannya, kita harus tangani hal ini secara mikro dan bukannya secara makro. Mereka perlu disaring mengikut kesusahan dan keperluan.

Kalau hanya setakat, menghulur ‘hamper’ pada bulan-bulan tertentu serta setelah menerima laporan daripada akhbar, sampai bila pun masalah ini tidak akan selesai.

Hakikatnya, kemakmuran negara tidak akan tercapai selagi kita tidak bersungguh-sungguh berjihad membasmi kemiskinan. Pun begitu, hal ini bukanlah terletak kepada tanggungjawab kerajaan 100 peratus.

Sebaliknya, kita semua perlu mengupayakan lagi kuasa infaq kepada mereka yang memerlukan. Ingatlah, tidak semua harta adalah milik kita, sebahagiannya adalah milik orang lain.

Malah, ALLAH telah berfirman, “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya. Dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaknya menetapkannya dengan adil.

Sesungguhnya ALLAH memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (Surah An-Nisa’ 4:58).

*Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis