UAE berkampung awal di Malaysia

Pemain UAE giat menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Khamis. - Foto https://www.uaefa.ae
Pemain UAE giat menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Khamis. - Foto https://www.uaefa.ae
A
A
A

SKUAD Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di sini beberapa hari lalu menjelang aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional di Bukit Jalil Selasa ini.

Ahli jawatankuasa teknikal FA UAE, Dr Hassan Suhail berkata, pasukan itu memutuskan untuk tiba awal di Kuala Lumpur untuk memastikan pemain 'Al Abyad' dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan cuaca dan waktu selain faktor lain yang memberi kesan kepada prestasi pasukan.

"Semua orang tahu betapa pentingnya aksi pertama dalam pusingan kelayakan ini, yang juga permulaan bagi pasukan nasional dan saya percaya bahawa melakar keputusan positif ketika berdepan Malaysia akan menjadi motivasi kuat untuk semua pemain.

"Motivasi untuk mengharungi baki perlawanan seterusnya yang menanti pasukan dalam kumpulan ini, yang semuanya bertekad untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya dalam laman sesawang FA UAE; www.uaefa.ae, hari ini.

Hassan berkata, ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk menyenaraikan 25 pemain dalam skuad bagi pusingan kelayakan dan meletakkan peluang bagi gergasi Asia Barat itu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

"Keyakinan terhadap pemain kami adalah berdasarkan bahawa kami mempunyai ramai pemain mempunyai kemampuan untuk menampilkan prestasi terbaik dan melakar keputusan meletakkan pasukan di landasan yang betul," tambah Hassan.

Pasukan UAE memulakan latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Khamis.

Untuk rekod, UAE menjalani latihan pusat selama 10 hari di Salzburg, Australia pada Julai diikuti kem latihan kedua di Bahrain yang menyaksikan pasukan itu menundukkan Republik Dominica 4-0 dan membelasah Sri Lanka 5-1.

Artikel Berkaitan: