Keharmonian kunci perpaduan penduduk Yan

Masyarakat turut bersama meraikan sambutan kemerdekaan baru-baru ini. Gambar kecil: Nasriza
Masyarakat turut bersama meraikan sambutan kemerdekaan baru-baru ini. Gambar kecil: Nasriza
A
A
A

YAN - Berpegang kepada asas perpaduan yang utuh, masyarakat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Yan hidup dalam keadaan harmoni meskipun berlaku percampuran bangsa dan agama.

Pegawai Perpaduan Daerah Yan, Nasriza Long berkata, kira-kira 20 peratus masyarakat Cina tinggal di dalam komuniti Melayu sekitar daerah ini.

Menurutnya, meskipun berlaku percampuran sedemikian mereka hidup dalam aman harmoni tanpa sebarang perbalahan.

"Sebagai agensi yang terlibat rapat dengan KRT, kita bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan keharmonian seperti ini," katanya.

Menurut Nasriza, masyarakat Cina tinggal di sekitar Taman Yan; Pekan Sungai Yan; Taman Desa Aman dan Simpang Tiga Sungai Limau.

Ahli KRT Yan bekerjasama memasang Jalur Gemilang.
Ahli KRT Yan bekerjasama memasang Jalur Gemilang.

"Meskipun dilihat hanya minoriti masyarakat Cina yang tinggal di sini tetapi mereka sentiasa terlibat aktif dalam pergerakan aktiviti KRT.

"Hal ini menyebabkan hubungan yang sedia ada dapat dijalin dengan lebih erat lagi melalui aktiviti yang dianjurkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nasriza berkata, selain daripada menggalakkan masyarakat Cina mengikuti pergerakan KRT pihaknya juga turut meraikan mereka dengan melantik wakil kaum ini bagi memegang jawatan penting.

"Jawatan penting dalam KRT seperti pengerusi, timbalan dan sebagainya perlu dibuat secara giliran.

"Ada masa kita akan beri peluang kepada masyarakat Melayu untuk memimpin dan adakalanya kepada masyarakat Cina," katanya.

Selain daripada pembahagian kepimpinan, masyarakat KRT daerah Yan turut mengamalkan konsep ziarah-menziarahi dalam kalangan satu sama lain.

Amalan ziarah menziarahi sentiasa menjadi amalan masyarakat di Yan.
Amalan ziarah menziarahi sentiasa menjadi amalan masyarakat di Yan.

"Kita ada sesi ziarah mereka yang berada dalam kesusahan seperti sakit dan sebagainya.

"Pihak KRT akan membawa barangan keperluan bagi memastikan beban mereka yang memerlukan dapat dikurangkan," katanya.

Sambutan perayaan juga disambut secara adil di mana pada sambutan Hari Raya Aidilfitri turut diraikan bersama masyarakat Cina dan begitu juga sebaliknya.

Tambah Nasriza, jika terdapat kenduri kahwin, masyarakat Cina turut dijemput dan ada dalam kalangan mereka yang datang awal untuk membantu menguruskan majlis.

"Kita sangat berharap suasana seperti ini dapat dikekalkan agar keharmonian dapat dinikmati buat selamanya," katanya.