Penduduk setia guna bot penambang

Bot bersaiz tiga meter panjang dan dua meter lebar yang menjadi nadi kepada penduduk Kampung Liang Batu dan Kundung Ulu untuk menyeberangi Sungai Muar bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
Bot bersaiz tiga meter panjang dan dua meter lebar yang menjadi nadi kepada penduduk Kampung Liang Batu dan Kundung Ulu untuk menyeberangi Sungai Muar bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
A
A
A

PAGOH - Pernah menjadi nadi pengangkutan utama buat penduduk sejak lebih enam dekad lalu, perkhidmatan sebuah bot penambang yang terletak di Jeti Kundang Ulu-Liang Batu di sini terus kekal beroperasi sehingga kini.

Walaupun kedengaran pelik, namun perkhidmatan itu tetap mendapat tempat di hati sebahagian penduduk apabila ada kalangan mereka yang terus setia menggunakan bot sebagai kemudahan pengangkutan.

Pengemudi bot penambang, Naziz Ali Husin, 42, berkata, dia memulakan kerja seawal jam 6.15 pagi untuk membawa penumpang terdiri daripada pekerja swasta dan kerajaan, pelajar sekolah serta penduduk sekitar yang setia menggunakan perkhidmatannya.

“Ada yang berjalan kaki dan ada yang menaiki motosikal. Bagi pejalan kaki, caj sebanyak RM0.60 sen dikenakan dan RM1.20 sen jika membawa motosikal.

“Perkhidmatan bot penambang ini jarang cuti. Kalau perlu cuti saya akan menampal notis pemberitahuan tiga hari lebih awal di pondok menunggu supaya pelanggan dapat menguruskan masa perjalanan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Nazis membantu salah seorang penumpang membawa motosikal menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Muar di Kampung Liang Batu, Pagoh.
Nazis membantu salah seorang penumpang membawa motosikal menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Muar di Kampung Liang Batu, Pagoh.

Naziz akui gembira dan berbangga kerana pekerjaannya ini dapat mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selagi perkhidmatannya masih diperlukan.

“Dalam satu masa saya hanya membawa 10 orang penumpang dan tiga buah motosikal sahaja dengan kadar ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Purata kutipan tambang yang mampu saya kumpul setiap hari adalah sekitar RM100 dan jika ditolak kos minyak serta kerosakan, jumlah tersebut memang tidak berbaloi berbanding waktu bekerja dan tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

Menurutnya, sebelum menjadi pengemudi bot penambang dia sememangnya sudah biasa dengan keadaan sungai di kawasan itu kerana sering memancing dan menjaring ikan yang merupakan salah satu hobinya selain sebagai kerja sambilan menambah pendapatan.

Katanya, bot sepanjang tiga meter panjang dan dua meter lebar serta enjin sangkut yang digunakan ketika ini dibuat sendiri hasil wang bantuan kerajaan sebanyak RM12,000 dan wang simpanannya sebanyak RM4,000.

"Bagi saya bukan kemewahan yang dikejar sejak bergelar pengemudi bot penambang lebih setahun lalu. Sebaliknya apa yang lebih penting adalah tanggungjawab untuk membawa dan menjaga keselamatan setiap penumpang yang memerlukan perkhidmatan saya setiap hari.

"Saya bersyukur tidak pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang mengendalikan bot penambang ini, walaupun adakalanya saya berdepan masalah untuk menyeberangi sungai apabila enjin sangkut yang digunakan rosak,” katanya.

Nazis sedang mengemudi bot penambang menongkah arus menyemberagi Sungai Muar untuk membawa penduduk Kundang Ulu ke Kampung Liang Batu bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
Nazis sedang mengemudi bot penambang menongkah arus menyemberagi Sungai Muar untuk membawa penduduk Kundang Ulu ke Kampung Liang Batu bagi menjalankan aktiviti harian mereka.

Ujarnya lagi, walaupun dia menamatkan perkhidmatan bot penambang pada pukul 7 petang setiap hari, namun sering kali juga dia terpaksa mengemudikan bot penambang pada waktu malam apabila perkhidmatannya diperlukan ketika berlaku kecemasan.

"Walaupun sering kali rasa letih selepas bekerja serta tiada masa untuk aktiviti lain seperti memancing sejak sediakan khidmat bot penambang ini, namun saya puas kerana berpeluang untuk bantu orang kampung.

"Saya tekad untuk melakukan kerja ini selagi terdaya serta perkhidmatan saya masih diperlukan kerana inilah peluang terbaik bagi saya untuk menyumbang bakti kepada masyarakat,” katanya.