X

Kindly register in order to view this article
!

Jiwaku patriotik, mualaf bingkai 16 gambar Agong

Rizal setia mendokumentasikan gambar Yang di-Pertuan Agong yang pertama sehinggalah ke-16 serta wajah pemimpin negara sejak usianya muda remaja di rumahnya di Ayer Keroh.
A
A

MELAKA - Jiwaku patriotik, begitulah yang boleh digambarkan buat seorang mualaf, Rizal Abdullah, 62, yang setia mendokumentasikan gambar Yang di-Pertuan Agong yang pertama sehinggalah ke-16 sejak usianya muda remaja.

Semuanya dilakukan semata-mata mahu menunjukkan semangatnya cintakan tanah air Malaysia kerana baginya rasa itu perlu dizahirkan agar menjadi ikutan anak-anak muda untuk mengenali siapa bekas Yang di-Pertuan Agong.

Ternyata, usaha yang dilakukannya sejak lebih 50 tahun lalu itu kini boleh dibanggakan kerana memang jarang kita temui rakyat negara yang berjiwa patriotik sebegini.

Rizal berkata, gambar-gambar tersebut disusun rapi mengikut urutan dan dibingkaikan dengan cermin bagi menjaga kualiti dan kebersihannya.

“Usaha saya ini adalah lahir dari hati saya sendiri yang cintakan negara dan raja. Malah, saya turut mengabadikan tujuh wajah perdana menteri Malaysia.

“Ini adalah cara saya sebagai rakyat Malaysia untuk menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara dan sebagai rakyat yang lahir dan dibesarkan di tanah air sendiri, menyimpan gambar raja dan pemimpin menjadi satu kepuasan dalam diri saya.

“Cubalah tanya anak muda sekarang, mesti ramai di antara mereka tidak mengenali Almarhum Tunku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tunku Muhammad (Agong pertama) dan agong seterusnya, jadi inilah perlunya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Ayer Keroh di sini.

Rizal yang juga ahli perniagaan berkata, beliau menggesa orang ramai terutamanya golongan muda mencontohi usaha yang dilakukannya sebagai cara mengingati raja dan pemimpin negara.

“Generasi muda perlu mengenali raja dan pemimpin dari dahulu sehingga yang terkini yang mana mereka semualah yang berjaya mencorakkan negara hingga ke tahap ini.

“Jangan kita lunturkan semangat cintakan negara, jika tidak mampu memadai untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai mengingati Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan juga Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus