Messi tiada galang ganti: Fabregas

Cesc Fabregas ketika beraksi bersama Lionel Messi.
Cesc Fabregas ketika beraksi bersama Lionel Messi.
A
A
A

BEKAS tonggak Barcelona, Cesc Fabregas yakin ‘dunia bola sepak’ sukar untuk melihat pemain sehebat Lionel Messi apabila kapten Argentina itu bersara suatu hari nanti.

Sambil menyifatkan Messi pemain paling berbakat di dunia, Fabregas berkata, tiada mana-mana pemain yang mampu menyaingi penyerang berusia 32 tahun itu pada masa depan.

“Saya rasa ia mustahil (mencari pemain sebaik Messi). Kita melihat kelibat seperti Ronaldo dan Ronaldinho tetapi Messi berbeza kerana dia memang hebat sejak 15 tahun lalu. Dia kekal bagus sejak 18 tahun lalu.

“Saya bermain dan berlatih bersama dia dan saya yakin anda tidak percaya apa yang saya lihat. Setiap tiga hari, dia akan menjaringkan gol, kemudian bermain bersama Argentina. Pulang bermain bersama kelab dan menjaringkan gol. Bagi saya ia tidak normal.

“Saya gembira dapat bermain bersama Messi. Musim pertama bermain bersamanya, kami sudah cukup serasi. Namun, musim berikutnya saya dibelenggu kecederaan yang membantutkan prestasi saya di Barcelona,” katanya.

Fabregas bermain bersama kelab Catalan itu selama tiga musim sejak 2011 hingga 2014 yang mana pada ketika itu Messi sedang berada di kemuncak prestasi terbaiknya.

Fabregas memberitahu, kualiti, disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan Messi tidak kelihatan pada pemain-pemain lain ketika ini.

“Saya akan menjadi orang paling sedih jika Messi bersara nanti. Dunia akan kehilangan seorang pemain yang cukup unik dan sempurna,” katanya yang kini bermain bersama kelab Ligue 1, Monaco.

Artikel Berkaitan: