Kekecohan di Jakarta: FAM kemuka aduan kepada FIFA, AFC

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan insiden kekecohan ketika aksi Malaysia berdepan Indonesia di Jakarta, malam tadi.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata FAM sedang mengumpul bukti kukuh berhubung insiden berkenaan sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada kedua-dua badan induk tersebut.

Beliau menegaskan hooliganisme dan gangsterisme tidak patut wujud dalam bola sepak dan FAM mengakui amat kecewa dengan gangguan penyokong Indonesia pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno itu.

Katanya FAM menganggap Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) melalui pihak berkuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang berlaku, justeru gagal mengotakan janji serta persefahaman yang dicapai sebelum ini.

"Apa telah berlaku itu menyebabkan tuan rumah gagal mengotakan janji yang diberi secara umum untuk perlawanan ini dan juga gagal mengawal sikap penyokong sebelum perlawanan bermula, begitu juga selepas perlawanan berlangsung sehingga mencemarkan imej bola sepak Indonesia.

"Bagaimanapun, 'fairplay' dan professionalism telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara, tetapi perlawanan dicemari oleh insiden di luar padang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan FAM dan PDRM tidak mempunyai bidang kuasa di Indonesia, mereka mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui dua mesyuarat pada 20 Ogos dan 27 Ogos lepas yang turut dihadiri Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ACP Kamarulzaman Maarof sebagai persiapan langkah keselamatan diperlukan untuk perjalanan penyokong negara ke Indonesia.

“Walaupun disediakan polis pengiring dari lapangan terbang ke stadium dan sebaliknya khusus untuk kira-kira 300 penyokong dalam enam bas, keadaan tetap menjadi huru-hara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memuji penyokong Malaysia yang dilihat bertindak balas secara positif dan tidak mengikut sebarang provokasi yang dicetuskan penyokong Indonesia.

“Kami nasihatkan anda untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke negara kita, sama ada peminat Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand atau Vietnam yang akan berlangsung di Stadium Nasional nanti," katanya.

Beliau berkata FAM juga berterima kasih atas sokongan padu penyokong Malaysia dan mendoakan keselamatan mereka yang masih berada di Indonesia, dan menggesa penyokong Harimau Malaya untuk mengelak sebarang provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia. - Bernama