Tun M dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan Kemanusiaan

Dr Mahathir menyampaikan ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Kemanusiaan daripada Universiti Doshisha di Amherst House, hari ini.
 - Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Kemanusiaan daripada Universiti Doshisha di Amherst House, hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A
KYOTO - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Persuratan Kemanusiaan oleh Doshisha University, Jepun, di atas sumbangannya terhadap pendidikan dan kedaulatan undang-undang.

Presiden Doshisha University Takashi Matsuoka berkata semasa Dr Mahathir memegang jawatan perdana menteri dari 1981 hingga 2003, beliau telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang bukan sahaja menyaksikan lebih 15,000 penuntut dan pelatih Malaysia dihantar ke Jepun tetapi juga menyumbang kepada pembinaan negara Malaysia.

Beliau berkata sejak menerajui pakatan (Pakatan Harapan) dan memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-14 tahun lepas serta kembali memimpin negara, Dr Mahathir telah mengambil langkah memperkukuhkan lagi kedaulatan undang-undang sebagai asas untuk mengekalkan demokrasi dalam era yang mencabar.

"Sumbangan Dr Mahathir kepada pendidikan dan kedaulatan undang-undang adalah selari dengan ‘pendidikan hati nurani’ yang sentiasa menjadi asas semangat Doshisha University," katanya dalam ucapan konvokesyen itu di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau amat berbesar hati di atas pengiktirafan yang diberikan terhadap usahanya untuk Malaysia.

Perdana Menteri berkata pengiktirafan yang diberikan itu akan dijadikan sandaran untuk terus menyumbang kepada negara.

Dr Mahathir menerima anugerah berkenaan daripada Matsuoka pada majlis penganugerahan khas yang berlangsung di Amherst House universiti itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Canselor dan Pengerusi Lembaga Amanah Doshisha University Eiji Hatta.

Ijazah kehormat itu dianguerahkan kepada mereka yang mencatat pencapaian luar biasa dalam bidang penyelidikan akademik, seni dan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Artikel Berkaitan:


Dr Mahathir merupakan penerima ke-68 anugerah tesebut dalam sejarah 144 tahun universiti itu.

Penerima lain termasuk pengasas Matsushita Corporation (kini Panasonic) Konosuke Matsushita dan ahli ekonomi Amerika Syarikat Joseph Eugene Stiglitz, yang juga merupakan penerima Hadiah Nobel Memorial dalam Sains Ekonomi dan John Bates Clark Medal.

Doshisha University yang ditubuhkan pada 1875 merupakan antara institusi pengajian tinggi swasta tertua Jepun dengan kira-kira 30,000 penuntut di empat kampus di Kyoto.

Ia juga merupakan antara "Global 30" univesiti Jepun dan salah satu daripada empat universiti swasta terkemuka di wilayah Kansai.

Terdahulu, perdana menteri melawat Towa Corporation, sebuah syarikat pengeluar acuan semikonduktor ultra-ketepatan, yang merancang mengembangkan operasi di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan anggaran pelaburan bernilai RM100 juta.

Beliau juga melawat Shimadzu Corporation, sebuah pengeluar instrumen analitikal dan diberi taklimat oleh pihak pengurusan syarikat mengenai operasi syarikat itu sebelum meluangkan masa melawat pusat penyelidikan dan pembangunan Shimadzu dan bilik pamerannya. - Bernama