P.Pinang minta KPKT kaji cadangan jenama semula PPR

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini meminta agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkaji semula cadangan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Perumahan Malaysia (PPM).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata cadangan ini jika diteruskan akan menghentikan pembinaan PPR di seluruh negara dan bakal menjejaskan peluang golongan B40 untuk mendapatkan kediaman.

“Sebelum ini, ia (PPR) disewa kepada golongan B40 pada kadar RM100 sebulan dan RM24 untuk yuran penyelenggaraan. Jika PPR, dihentikan golongan B40 yang tidak mampu beli rumah kos sederhana akan terjejas,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Menurutnya kaedah perlaksanaan (PPM) adalah melalui 'request for proposal' (RFP) di mana pihak swasta mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memajukan tanah-tanah mereka untuk projek ini dan menjual unit-unit berkenaan pada harga di antara RM90,000 dan RM300,000.

"Penjualan unit rumah berharga RM90,000 itu pastinya telah diberikan subsidi yang tinggi oleh kerajaan pusat namun ia masih tidak mampu dimiliki golongan B40. Harga ini lebih tinggi berbanding harga seunit rumah kos sederhana rendah (LMC) yang dibangunkan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata Pulau Pinang mempunyai 999 unit PPR dan merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah unit PPR paling sedikit di Malaysia.

Beliau berkata negeri ini sering dianaktirikan dalam pelaksanaan PPR sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan menjangkakan akan ada penambahan selepas itu setelah kerajaan pusat meminta kerajaan negeri mengenal pasti tapak-tapak tanah untuk pembangunan PPR.

“Pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah memang tidak berbaloi namun ia merupakan tanggungjawab sosial kepada mana-mana kerajaan kerana kita mesti pelihara nasib mereka yang tidak mampu untuk memiliki rumah," katanya dalam satu sidang akhbar yang berasingan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan persekutuan yang merancang supaya subsidi pembinaan PPM ditanggung kerajaan negeri yang dilihatnya sebagai sesuatu yang perlu dikaji semula.

Menurutnya sehingga hari ini kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan 102,335 unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik, di mana 29,959 unit sudah siap dibina, 23,567 unit lagi sedang dalam pembinaan, sementara 48,809 sudah diluluskan untuk pembinaan.

"Terdapat beberapa negeri yang telah menaikkan harga rumah kos rendah daripada RM42,000 kepada RM60,000, rumah kos sederhana rendah daripada RM72,500 kepada RM100,000 tetapi kerajaan negeri masih mengekalkan harga lama. Had siling rumah mampu milik di Georgetown berharga RM300,000 manakala di Seberang Perai adalah RM250,000," katanya.- Bernama