Permohonan LHDN kes cukai Najib didengar 8 November

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 November untuk mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman yang dikemukakannya terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menuntut cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion.

Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad yang mewakili LHDN berkata, Hakim Datuk Ahmad Bache juga menetapkan tarikh yang sama bagi mendengar permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman itu.

“Mahkamah menetapkan 1 November untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis bagi kedua-dua permohonan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes tersebut di dalam kamar hakim.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wee Yeong Kang yang mewakili Najib ketika ditemui pemberita turut mengesahkan perkara itu.

Penghakiman terus ialah kes diputuskan melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Pada 8 Ogos lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1973 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Jun lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut Najib membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.- Bernama