MPM lelong lapan ekor lembu

Syamsul Hazeman (kanan) menunjukkan lapan ekor lembu yang dilelong.
Syamsul Hazeman (kanan) menunjukkan lapan ekor lembu yang dilelong.
A
A
A

SERI MANJUNG - Sebanyak tujuh ekor lembu dewasa dan seekor anak lembu yang ditangkap berkeliaran di Kampung Dato' Seri Kamaruddin di sini dilelong Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, lelongan yang bermula jam 9 pagi dan berakhir 11 pagi itu menyaksikan kesemua lembu dijual dengan harga RM21,100 kepada pembida-pembida yang hadir.

"Kelapan-lapan ekor lembu ini ditangkap dan disita MPM dalam operasi yang dijalankan Selasa lalu selepas menerima aduan penduduk kampung haiwan berkenaan merayau, merosakkan tanaman dan memasuki premis kediaman mereka.

"Selepas ditangkap lembu berkenaan dibawa ke MPM bagi mengenal pasti pemiliknya, namun kesemua haiwan berkenaan tidak mempunyai tanda pengenalan yang dikeluarkan Jabatan Veterinar bagi mengesahkan milik siapa dan MPM mengambil langkah melelongnya selepas tiga hari," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program lelongan lembu tersebut di pekarangan MPM di sini hari ini.

Menurut Syamsul Hazeman bagi tahun ini sebanyak 11 ekor lembu berjaya ditangkap dan disita MPM dan dari jumlah berkenaan sembilan ekor dilelong manakala dua ekor lagi dituntut pemiliknya.

"Bagi haiwan ternakan ditangkap MPM kerana merayau, pemiliknya boleh mengemukakan tuntutan dalam tempoh tiga hari selepas operasi dijalankan di mana mereka juga perlu membuktikan haiwan itu milik mereka seperti tanda pengenalan daripada Jabatan Veterinar.

"Sekiranya haiwan itu tidak dituntut dalam tempoh berkenaan, MPM akan menjalankan lelongan terbuka mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (MPM) 2012," katanya.

Menurutnya MPM tegas menyampaikan mesej supaya penternak haiwan tidak membiarkan haiwan mereka merayau sehingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan: