Tanggung risiko besar jika ceroboh laluan belum dibuka

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Soon Hiong
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Soon Hiong
A
A
A

IPOH - Pengguna jalan raya diminta tidak sewenangnya menggunakan laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang belum dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong berkata, tindakan itu boleh mendatangkan masalah sekiranya berlaku insiden tidak diingini termasuk kemalangan yang membabitkan kematian.

"Ia akan menyebabkan masalah besar bagi keluarga mangsa untuk menuntut insurans kerana laluan yang belum diwartakan.

"Jadi sebaiknya jangan gunakan laluan ini selagi belum disahkan dibuka untuk pengguna," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemalangan sebuah kereta di jajaran Seksyen 10 WCE, malam tadi yang mengakibatkan dua lelaki maut akibat rentung.

Soon Hiong berkata, Seksyen 9 dan Seksyen 10 yang menghubungkan Lekir dan Changkat Chermin; Changkat Chermin ke Beruas, masing-masing belum dibuka untuk pengguna.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, pemandu kereta, R Arigaran, 28, dan penumpang hadapan, S Mahendran, 26, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang berusia 30 tahun dilaporkan parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Audi dinaiki tiga lelaki dari arah Tol Batu 19 Ayer Tawar menghala ke Beruas hilang kawalan dan melanggar tiga jentera pembinaan jalan yang di parkir di bahu jalan lalu terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati, kenderaan itu menceroboh masuk ke laluan kawasan pembinaan lebuh raya berkenaan.

"Siasatan lanjut kini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki rentung dalam nahas jalan raya