KTS siap sedia jadi Hospital Rakan Bayi pertama Terengganu

Mat Yula dan Zalma merasmikan Inisiatif Hospital Rakan Bayi KTS Hospital.
Mat Yula dan Zalma merasmikan Inisiatif Hospital Rakan Bayi KTS Hospital.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi pertama di Terengganu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd, Mat Yula Kassim berkata, sehingga kini, KTS telah menghantar satu pertiga daripada keseluruhan kakitangan KTS Hospital untuk mengikuti kursus.

Menurutnya, kursus selama 20 jam itu dikendalikan Pusat Laktasi Kebangsaan untuk mempelajari teknik-teknik penyusuan, polisi-polisi serta cara untuk menyebarkan pengetahuan tentang penyusuan susu ibu.

“Ia bagi mempersiapkan hospital kami untuk menjadi Hospital Swasta Rakan Bayi Pertama di Terengganu.

Sebahagian jemputan yang hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di KTS Hospital.
Sebahagian jemputan yang hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di KTS Hospital.

“Dengan menyediakan fasiliti yang menggalakkan penyusuan ibu terus kepada bayi, secara tidak langsung memastikan bayi-bayi yang dilahirkan mendapat zat-zat dan nutrisi sempurna yang dapat menyumbang kepada tumbesaran bayi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di KTS Hospital, di sini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Mat Yula dan Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia ini, Zalma Abdul Razak.

Program yang bertemakan Caknakan Ibu Bapa, Jayakan Penyusuan menekankan tentang kepentingan usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan rantaian sokongan bagi menyediakan persekitaran yang dapat memperkasakan ibu untuk menyusu anak secara optima.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada ruang pameran dan ceramah, terdapat banyak aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sejak 3 September 2019 untuk memeriahkan acara antaranya kuiz dan demonstrasi perahan susu ibu.