Pembantu rumah didakwa bunuh bayi yang baru dilahirkan

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang pembantu rumah warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membunuh bayi yang baru dilahirkan di sebuah rumah 22 Ogos lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Welmince Alunat, 38, sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan satu kesalahan bunuh ke atas bayinya yang baru dilahirkan di dalam bilik mencuci dan menjemur pakaian di Jalan Cempaka 27, Taman Cempaka di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan jam 7 pagi 22 Ogos lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa.

Mahkamah menetapkan 22 November sebagai sebutan semula kes.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah itu hendak melahirkan bayi tersebut di rumah majikannya itu.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu dikatakan bertindak demikian bagi menyembunyikan kelahiran bayi tersebut daripada pengetahuan majikannya.