Mahfuz ucap 'selamat pengantin baharu' Pas-UMNO

Mahfuz semasa merasmikan Karnival Dekat Di Hati Komuniti KRT Taman Setia Jaya, Alor Setar pagi tadi
Mahfuz semasa merasmikan Karnival Dekat Di Hati Komuniti KRT Taman Setia Jaya, Alor Setar pagi tadi
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan 'selamat pengantin baharu' kepada Pas dan UMNO yang akan memeteraikan Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September ini.

Menurutnya, beliau sangat mengalu-alukan usaha dua parti berkenaan kerana secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang hipokrasi politik yang sedang ditunjukkan oleh kedua-dua parti tersebut.

"Saya tidak tahu apa kandungan piagam itu tetapi saya mengalu-alukan agar ia dipercepatkan lagi dan tidak perlu tunggu sampai 14 September.

"Saya ucapkan tahniah kepada Pas dan UMNO kerana memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang hipokrasi politik.

"Saya lihat dulunya orang-orang yang dipersoalkan oleh Pas kini sudah boleh menjejakkan kaki ke Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena. Tempat itu adalah satu institusi yang telah dibina dan dibangunkan atas keringat titik peluh sumbangan masyarakat ahli-ahli Pas termasuk Almarhum Datuk Fadzil Noor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Karnival Dekat Di Hati Komuniti KRT Taman Setia Jaya, Alor Setar pagi tadi.

Terdahulu beberapa pemimpin tertinggi Pas dan UMNO hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah Peringkat Kedah di Muassasah Darul Ulum pada Rabu lalu antaranya Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mahfuz berkata, bagaimanapun beliau enggan mengulas lebih lanjut perkara tersebut kerana itu adalah hak ahli dan penyokong Pas untuk bersama dan terus dengan piagam tersebut ataupun memilih jalan sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Dahulu bendera UMNO pun tidak boleh masuk ke pekarangan Muassasah Darul Ulum. Tetapi hari ini pemimpin-pemimpin UMNO yang dahulu dikenali sebagai pemimpin kleptokrat dan sebagainya disambut oleh pemimpin-pemimpin Pas.

"Saya ucap tahniah kepada parti itu kerana telah membalas segala sumbangan ahli-ahli Pas dengan membawa pemimpin-pemimpin seperti ini untuk jejak tanah yang dibangunkan dengan keringat yang suci bersih dari ahli-ahlinya dahulu," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas pelawaan Annuar kepada wakil parti politik dalam kerajaan menghadiri majlis tandatangan piagam taawun tersebut untuk memberikan kefahaman sebenar mengenai kerjasama itu, Mahfuz berkata, UMNO dan Pas sedang berada dalam keadaan bercelaru.

"Selesaikan dulu masalah Pas dan UMNO sebelum jemput parti-parti politik lain dalam kerajaan.

"Dia (Annuar) kata ini himpunan penyatuan ummah, piagam itu antara Pas dan UMNO tetapi di mana MCA, di mana MIC, di mana Gerakan? (tetapi) dia pula nak panggil part-parti PH ke sana," katanya.