PSSI tak pernah ambil iktibar insiden terdahulu: Kim Swee

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PENGENDALI skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan pihak berkuasa Indonesia tidak pernah mengambil iktibar insiden serangan penyokong skuad Garuda ketika berdepan Malaysia sejak 2010 dan 2011.

Kim Swee berkata, seharusnya kejadian serangan terhadap penyokong Ultras Malaya tidak berlaku memandangkan dua insiden terdahulu perlu dijadikan pengajaran buat pihak penganjur.

“Bagi saya, perkara seperti ini berlaku setiap kali berdepan Indonesia. Apabila pasukan Datuk K Rajagobal menjuarai Piala AFF 2010, disusuli dengan emas Sukan Sea 2011 (bimbingan Kim Swee) dan kini 2019, kalau pihak menganjur mengambil iktibar daripada dua insiden itu, saya percaya perkara seperti ini tidak akan berlaku.

“Dari 2011 sampai 2019 adalah jurang yang panjang iaitu 8 tahun tetapi mereka tidak dapat mengatasi masalah ini. Bermakna mereka mengambil mudah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kim Swee sebelum ini pernah merasai pengalaman menaiki kereta perisai milik Indonesia, barracuda bersama para pemain dan pegawai pada aksi final bola sepak Sukan SEA 2011 menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno ketika berdepan dengan insiden serangan penyokong tuan rumah.

Keputusan final itu memihak kepada Harimau Malaya dengan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti, 4-3, selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan.

Setahun sebelum itu, skuad bimbingan Rajagobal turut berdepan situasi sama pada aksi final Piala AFF yang menyaksikan Malaysia gah menundukkan Indonesia, 3-0 di lokasi sama sebelum mengesahkan kejuaraan di Stadium Bukit Jalil dalam aksi timbal balik walaupun tewas, 2-1.

Mengulas lanjut Kim Swee berkata, insiden serangan penyokong Indonesia terhadap Ultras Malaya tidak seharusnya berlaku selain menunjukkan pihak berkuasa Indonesia tidak bersedia.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa apa yang berlaku dalam padang terhadap Ultras Malaya tidak sepatutnya berlaku di mana pihak keselamatan Indonesia harus bertanggungjawab tentang tahap keselamatan semua para penonton tidak kira penyokong tempatan atau lawan.

“Itu satu tanggungjawab pihak berkuasa Indonesia di mana jika terus membenarkan ia berlaku, bermakna satu hari nanti mungkin ada kemalangan jiwa. Kita tahu bola sepak merupakan satu permainan di mana bukan untuk kita berbalah,” katanya.

Mengulas situasi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang berdepan insiden sama, Kim Swee berkata, soal keselamatan harus menjadi aspek paling penting buat mereka.

“Tentang menaiki Barakuda pulang ke hotel, kalau itu merupakan cara terbaik untuk mengawal keselamatan pemain dan pegawai, kita terpaksa akur. Kita tidak boleh mengambil ringan tentang aspek keselamatan.

“Jadi apa yang dilakukan oleh pihak Indonesia apabila menggunakan barracuda, itu merupakan tanggungjawab mereka. Ini harus kita patuhi. Namun saya tidak setuju dengan apa yang berlaku terhadap Ultras Malaya di mana aspek keselamatan agak longgar,” katanya.

Dalam pada itu Kim Swee menasihati penyokong Malaysia supaya mempamerkan diri sebagai penyokong yang matang dan menghormati pasukan lawan dalam aksi timbal balik Kumpulan G menentang Indonesia di Stadium Bukit Jalil nanti.

“Saya tidak percaya tentang kita harus balas dendam terhadap apa yang dilakukan oleh pihak Indonesia. Dalam bola sepak tiada istilah balas dendam.

“Bagi saya, kita tidak perlu melawan emosi kita untuk membalas dendam. Biar kita buktikan kepada mereka, kita menerima pelawat dan tetamu dengan cara terhormat,” katanya.