Melaka ganti 45 kenderaan jabatan kerajaan

Adly ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri Ayer Keroh di sini hari ini.
Adly ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A
MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka memperuntukkan RM5 juta bagi pembelian 45 kenderaan baharu agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, pembelian kenderaan jenis Proton Exora dan van Mitsubishi bagi menggantikan kenderaan pentadbiran kerajaan negeri yang telah berusia lebih 20 tahun.

Menurutnya, antara jabatan mahupun agensi yang dikenal pasti akan menerima kenderaan baharu termasuk Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Melaka, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Ini merupakan penggantian yang dibuat bagi fasa pertama dan akan disusuli dengan penggantian fasa kedua membabitkan kenderaan berusia lebih 10 tahun pula.

"Penukaran kenderaan seperti van penumpang dan kenderaan itu demi keselesaan dan keselamatan kakitangan dalam melaksanakan tugas mereka," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hassan.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, pihaknya akan mengkaji semula lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan yang selama ini diadakan di pekarangan Memorial Pengisytiharan Banda Hilir ke lokasi lain memandangkan sambutan baru-baru ini mendapat sambutan ramai.

Menurutnya, cadangan penukaran lokasi kerana kerajaan negeri mengambil kira reaksi pengunjung yang merasakan lokasi berkenaan begitu padat bagi mengadakan acara besar-besaran seperti itu.

"Kawasan itu agak padat dan kita mempunyai beberapa cadangan lokasi baharu untuk penganjuran program itu pada tahun hadapan seperti di Jalan Hang Tuah.
Artikel Berkaitan:


"Bagaimanapun ia akan diputuskan dalam masa terdekat dengan mengambil kira pelbagai aspek logistik dan keselesaan," katanya.