'Orang Melayu masih tidak sedar'

 Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka sehingga dibelenggu kemiskinan sekiranya terus malas untuk bekerja.

Namun menurutnya, sehingga kini orang Melayu masih tidak sedar dan enggan bekerja sehingga rela menyerahkan tugas kepada warga asing.

“Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing. Dan orang asing pun membanjiri negara kita, tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja.

“Apakah akan terjadi kepada orang Melayu. Tentulah apa yang sudah jadi dahulu kepada negara dan orang Melayu, yang akan terus jadi.

“Ada yang dakwa orang Melayu adalah tuan. Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, tuankah?" katanya pada perkongsian di blognya chedet.cc hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, orang Melayu ramai yang masih tidak sanggup bekerja kuat dan tidak sanggup berniaga secara serius sehingga terus dibelenggu dengan kemiskinan.

“Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir, tak perlu buat apa-apa.

“Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesaikan masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah, tetapi jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir turut mengimbau kenangannya ketika remaja yang memerhatikan keadaan sekitar tempat tinggalnya di Alor Star, Kedah yang ketika itu Negeri-Negeri Melayu dijajah British.

“Tidak dapat dinafi ialah British membawa sistem pemerintahan yang lebih baik dan negeri-negeri mengalami sedikit sebanyak pembangunan, apabila British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah.

“Anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.

“Dimanakah orang Melayu? Mereka bekerja dalam sawah padi mereka, dan ada sedikit yang menjadi nelayan, sebilangan kecil dari mereka bekerja dengan kerajaan sebagai kerani. Lebih kecil lagi ialah bilangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, mereka ini semua berbangga kerana dibayar gaji tetap dan pencen,” katanya.