Berkongsi mesin dobi dengan orang bukan Islam

A
A
A

PADA hari ini, perkhidmatan dobi konvensional dan dobi layan diri banyak ditawarkan di pasaran.

Rata-rata masyarakat lebih suka mendobi pakaian di rumah, namun jika terpaksa membasuh dalam kuantiti yang banyak atau mendobi fabrik yang tebal seperti cadar, sudah tentu perkhidmatan dobi itu diperlukan.

Namun, kadangkala terselit rasa was-was dalam diri apabila kita mendobi pakaian di kedai dobi layan diri kerana sesiapa sahaja boleh menggunakannya termasuk orang bukan Islam.

Ya, adakalanya kita khuatir mereka bersentuh dengan anjing atau selainnya yang menimbulkan rasa was-was dalam diri.

Persoalannya, apakah hukum kita mendobi pakaian di kedai dobi latan diri yang berkongsi mesin dobi yang sama dengan orang bukan Islam?

Sebenarnya, asal hukum bagi sesuatu adalah bersih dan suci selagi tidak ada najis berupa bau, rasa dan warna.

Begitu juga dengan hukum asal mesin basuh, bersih sebelum ada bukti menandakan kotoran seperti bau, rasa dan warna.

Kekhuatiran atau was-was tidak boleh mengubah hukum, melainkan ia datang dalam keadaan pasti, yakin atau menghampiri pasti pada sesuatu permasalahan.

Artikel Berkaitan:

Islam menitikberatkan supaya kita berhati-hati dalam sesuatu perkara, tetapi tidaklah sampai memberatkannnya. Pernah berlaku peristiwa yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi berstatus hasan yang mana pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada sebuah telaga bernama Budha’ah.

Dalam telaga itu, kain dicampakkan untuk mencuci darah haid, bangkai dan daging anjing.

Lalu Nabi Muhammad SAW menjawab: "Airnya suci selagi mana tidak dinajisi sesuatu."

Lafaz tidak dinajisi sesuatu itu merujuk kepada keyakinan asal air adalah suci selagi tidak berubah salah satu sifat disebutkan di atas tadi.

Justeru, tidaklah menjadi haram menggunakan mesin basuh itu, apatah lagi airnya mengalir dan bahan pencuci yang digunakan juga membantu untuk membersihkan pakaian.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.