Sikap pentingkan diri sendiri punca fitnah berleluasa

USTAZAH ASMAK
USTAZAH ASMAK
A
A
A

SIKAP mementingkan diri antara punca menyebabkan masyarakat tanpa segan-silu menabur fitnah terhadap orang lain mahupun diri sendiri.

Pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin berkata, apabila sikap itu 'bersarang' dalam diri, ia menjadikan seseorang itu tidak peduli dengan apa yang berlaku terhadap orang lain.

"Puncanya akibat daripada kekurangan agama yang sangat berkait rapat dengan hati. Bertambah buruk lagi apabila material diutamakan dalam segala aspek kehidupan.

"Akhirnya lahirlah manusia tanpa hati dan perasaan seperti robot. Sebab itulah dia tidak kisah untuk melakukan fitnah," katanya kepada Sinar Islam.

Menurut beliau, suasana pada hari ini yang memudahkan penyebaran fitnah dengan adanya kemudahan teknologi menyebabkan fenomena itu semakin 'membarah'.

"Masyarakat menganggap fitnah itu hanya melalui percakapan, namun (cerita) dalam internet pula bukan fitnah, sebaliknya ialah teknologi. Namun, dari segi hukumnya, dosa fitnah itu tetap sama.

"Sebab itulah pencarian ilmu itu penting. Ia sebenarnya mengajar bagaimana untuk kita mendapatkan maklumat yang baik. Di sinilah perlunya tabayyun untuk menyaring maklumat. Ambillah sedikit masa untuk berfikir sebelum menyebarkannya kerana kesannya bukan sahaja pada diri kita, tetapi juga orang lain," katanya.

Sementara itu, memetik teks khutbah Jumaat bertajuk Fitnah Membawa Punah yang dikeluarkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor, azab perbuatan fitnah begitu berat sebagaimana disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Artikel Berkaitan:

"Penabur fitnah ialah orang yang paling keji sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Qalam, ayat 10 dan 11. Mereka juga bakal mendapat azab ALLAH SWT dan tidak akan masuk ke syurga," katanya memetik teks khutbat Jumaat berkenaan yang bertarikh 21 Jun lalu.

Rasulullah SAW bersabda: “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga.” (Riwayat al-Bukhari)

DR MOHAMMAD NIDZAM
DR MOHAMMAD NIDZAM

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir meminta masyarakat untuk menguatkan iman dalam diri agar terhindar daripada perbuatan fitnah.

"Takutlah azab seksa kerana memfitnah. Sebaiknya jangan memfitnah orang lain. Jagalah akhlak diri," ujar beliau.

(ARTIKEL BERKAITAN: Syurga bukan milik penabur fitnah)