Hilangnya permata seni dikir barat

Kumpulan Sri Pulong kehilangan Allahyarham Saroji Guri Emas (tiga kiri) yang meninggal dunia akibat barah usus kelmarin.
Kumpulan Sri Pulong kehilangan Allahyarham Saroji Guri Emas (tiga kiri) yang meninggal dunia akibat barah usus kelmarin.
A
A
A

KOTA BHARU - Arena seni dikir barat kehilangan seorang tokoh apabila Saroji Ab Hadi, 54, atau lebih dikenali sebagai Saroji Guri Emas dari kumpulan Lang Merah Sri Pulong menghembuskan nafas terakhirnya kelmarin.

Anak saudaranya, Ahmad Syakir Amir Amri atau Dekyah Sri Pulong berkata, Allahyarham meninggal dunia jam 11.20 malam 4 September di Hospital Beacon, Petaling Jaya akibat penyakit barah usus.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Azinie Abdullah dan empat anak.

“Allahyarham sebelum ini telah sakit lebih setahun lalu dan pernah dirawat di Hospital Universiti Kubang Kerian sebelum menjalani rawatan di Hospital Beacon.

“Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian jam 12 tengahari semalam,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Allahyarham adalah adalah lagenda dikir barat Lang Merah Sri Pulong Kubang Kerian dan pernah menjadi johan Dikir Barat Kebangsaan RTM tahun 1996.

Kumpulan ini ditubuhkan pada 16 Mac 1993 oleh adik Allahyarham iaitu Amir Amri Ab Hadi.

Amir Amri juga adalah pengurus kumpulan mereka yang bertungkus lumus menaikkan nama kumpulan mereka di persada seni negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kehilangan Allahyarham adalah kehilangan paling besar bagi kumpulan kami.

"Antara lagu lagu yang dicipta sendiri ialah Dikir Rambong, Mana janji Kau Sumpah Setia, Aku Masih Seperti Dulu, Biarlahku Tanggung Sendiri, Dunia Pancaroba, Sekian Lama Tidak Berjumpa dan banyak lagi," katanya.

Allahyarham aktif dalam dikir barat dalam tahun 90-an bersama pendikir lain yang juga telah meninggalkan dunia seperti Allahyarham Zaidi Buloh Perindu, Allahyarham Hassan Sri Panggung dan Allahyarham Cikgu Naim.