Wan Kuzain bakal wakili skuad B-23

Wan Kuzain sedia menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina penghujung tahun ini.
Wan Kuzain sedia menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina penghujung tahun ini.
A
A
A

KETUA Jurulatih Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan Wan Kuzain Wan Kamal hanya akan beraksi dengan barisan kendaliannya pada Sukan SEA 2019 di Filipina penghujung tahun ini.

Menurut Kim Swee, pemain yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu tidak menyatakan hasrat menyarung jersi Harimau Malaya kerana sedang cuba mendapatkan tempat dalam skuad senior AS.

“Buat masa ini memang Wan Kuzain akan mewakili skuad B-23 terlebih dulu disebabkan Liga Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat hanya akan berakhir awal November atau lewat Oktober.

“Jadi, untuk Wan Kuzain bermain bersama skuad negara (Harimau Malaya) mungkin hanya akan berlaku pada masa depan tetapi ia terpulang kepadanya sendiri.

“Kita tahu dia sedang mendapatkan tempat dalam skuad senior AS dan bermain dengan skuad B-23 tidak akan memberikan sebarang masalah apabila hendak bermain dengan pasukan AS nanti,” katanya semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pemain yang beraksi bersama Sporting Kansas City itu menyatakan hasrat bermain bersama Malaysia pada Sukan SEA 2019.

Namun, bapanya, Wan Kamal Napi dalam hantaran di laman Facebook miliknya menegaskan, anaknya itu hanya menyatakan minat beraksi bersama skuad B-23 dan bukan bersama Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, beliau masih terus berkomunikasi dengan Wan Kuzain dan proses untuk membawa pemain berusia 20 tahun itu masih berjalan.

Artikel Berkaitan:

“Kami masih berunding bagi memastikan perkara ini (membawa pulang untuk bersama pasukan B-23) dapat direalisasikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui gembira dengan keputusan Wan Kuzain itu selain menyifatkan ia memberikan kelebihan kepada skuad B-23 negara.