Kos pencen jangan sampai jadi bom jangka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

[DIKEMASKINI] SEJAK sekian lama, pekerjaan dalam sektor kerajaan menjadi buruan ramai terutamanya graduan lepasan universiti.

Walaupun sektor swasta mungkin menawarkan gaji yang lebih tinggi, namun sektor awam menjanjikan kerjaya yang lebih selamat atau kurang risiko pada masa depan.

Lantaran itu, bukanlah menghairankan apabila pada tahun 2016, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam menerima sebanyak 1.56 juta permohonan untuk mengisi kekosongan 25,046 jawatan dalam sektor perkhidmatan awam.

Satu lagi tarikan sektor awam sudah tentulah skim pencen yang turut menjadi satu lagi jaringan keselamatan sewaktu menjalani kehidupan pada usia emas.

Namun jumlah kakitangan awam yang semakin ramai, ditambah had usia penduduk yang semakin panjang menyebabkan kos pencen dalam sektor awam menjadi isu yang semakin kritikal.

Pada waktu ini, Malaysia memiliki kira-kira 1.7 juta kakitangan awam, manakala jangka hayat kaum lelaki Malaysia adalah 73 tahun dan kaum wanita 79 tahun.

Yang pasti, kos pencen yang tinggi bukan hanya menjadi isu di Malaysia, bahkan ibarat bom jangka di banyak negara maju termasuklah Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Di Malaysia sebagai contoh, jumlah peruntukan kos dan gratuiti yang disediakan kerajaan ialah sebanyak RM7.04 bilion pada tahun 2007, sebelum melonjak kepada RM21.22 bilion pada tahun 2017.

Artikel Berkaitan:

Terbaru, angka itu terus bertambah apabila Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah mendedahkan jumlah kos pencen terkini kakitangan awam yang bersara sudah mencecah RM28 bilion setahun.

Seiring dengan kebimbangan ledakan jumlah kos pencen itu, kerajaan kini dilaporkan bakal membuat pengambilan pegawai awam secara kontrak berbanding skim pengambilan penjawat awam secara tetap bermula tahun depan.

Skim pengambilan pekerja secara kontrak ini sebenarnya telah lama diamalkan dalam sektor swasta sebagai salah satu strategi penjimatan sama ada dari segi gaji, elaun, pampasan dan sebagainya.

Langkah segera perlu diambil kerajaan bagi mengelakkan peruntukan kos pencen terus melonjak sehingga mengambil jumlah bajet tahunan negara lebih besar.