Kerana yang dibonceng itu nyawa manusia

No Image Caption
A
A
A

MERAK JALANAN sebenarnya antara orang yang kerap juga menggunakan khidmat rider penghantar makanan.

Minggu lalu, sewaktu di rumah Merak Jalanan sempat juga buat tempahan makanan segera untuk seisi keluarga.

Selepas 20 minit, muncul seorang lelaki membawa makanan yang ditempah. Tapi agak dukacita, minuman yang ditempah sudah banyak tertumpah.

Rider muda itu beberapa kali meminta maaf kerana katanya ingin cepat membuat penghantaran sehingga ada makanan dan minuman yang rosak.

Beliau mengakui perlu segera mengejar trip untuk mendapatkan lebih banyak tip penghantaran. Kalau sejam dapat tiga trip, pada hari biasa dapatlah RM9, katanya.

Merak Jalanan hanya tersenyum tanda memberi kemaafan kepada anak muda itu.

Sempat juga Merak Jalanan lempar satu soalan kepadanya, “Kerajaan mahu buat Gojek, awak beranikah bawa orang sebab ramai timbulkan isu keselamatan?”

Balasnya ringkas, “Saya berani, apa nak takut bawa orang.”

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan hanya mampu berbisik dalam hati, “Dia memang berani, tengok makanan yang dah rosak ini, aku yang takut.”

Dalam keghairahan sejak beberapa minggu lalu kita bercerita mengenai perkhidmatan Gojek di negara ini, bagi Merak Jalanan kementerian berkaitan harus membuat persiapan teliti.

Aspek keselamatan harus menjadi keutamaan kerana jika berlaku apa-apa kemalangan, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan?

Ini kerana berdasarkan statistik 2018, sebanyak 63 peratus kematian membabitkan penunggang motosikal.

Lebih menakutkan, sebanyak 18 individu terutamanya penunggang dan pembonceng motosikal maut setiap hari.

Suka atau tidak, kita tidak dapat menafikan operasi Gojek yang membawa orang ramai sebagai pembonceng terdedah kepada nahas jalan raya.

Merak Jalanan terfikir, sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku siapa yang perlu mengambil tanggungjawab. Rider atau syarikat Gojek?