Ambil iktibar tragedi Sungai Lembing

 Ambil iktibar tragedi Sungai Lembing. Gambar kecil:Nor Khalilah Gusti Hassan.
Ambil iktibar tragedi Sungai Lembing. Gambar kecil:Nor Khalilah Gusti Hassan.
A
A
A

TRAGEDI kebakaran 33 unit premis termasuk rumah, kedai dan sebuah perpustakaan yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi menjelang Hari Kebangsaan lalu di Kampung Sungai Lembing, Pahang amat meruntun hati rakyat Malaysia.

Bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda bernilai ratusan ribu ringgit, bahkan dua nyawa warga emas yang didakwa terperangkap dalam kejadian kebakaran itu turut melayang.

Setakat hari keenam (6 September), Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menemukan bahagian jasad salah seorang daripadanya, namun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum diperoleh untuk mengenal pasti identiti bahagian yang ditemui.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, andaian itu dibuat berdasarkan tiada mayat kedua dijumpai walaupun operasi mencari telah dijalankan dengan teliti termasuk menggunakan unit anjing pengesan.Andaian awal ini katanya, berdasarkan kebiasaan mangsa untuk duduk berdekatan atau berpelukan semasa berada dalam situasi cemas.

Sesungguhnya, hal ini membuka pelbagai diskusi berkenaan terjadinya kebakaran yang begitu besar sehingga merebak dengan cepat dan memusnahkan sebegitu banyak harta benda.

Salah satu daripadanya adalah hal keselamatan dan tindakan awal ketika berlakunya kebakaran.

Dakwaan orang ramai kononnya tiada air pada pili bomba semasa proses memadamkan kebakaran turut hangat diperkatakan.

Masing-masing menyalahkan pihak berwajib kerana sekiranya tidak berlaku masalah sedemikian, banyak premis dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

Ia bukan sekadar gosip di jalanan kerana isu tersebut telah dibawa ke pengetahuan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Raja Suji berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) berhubung aduan penduduk mengenai bekalan air dan pili bomba yang ditutup pada waktu malam di Sungai Lembing.

Beliau menegaskan, sekiranya aduan dan dakwaan itu benar, ia sepatutnya tidak berlaku kerana kejadian kebakaran tidak mengira waktu.

Menurutnya, prosedur menetapkan air pada pili bomba mestilah boleh beroperasi 24 jam dan tidak boleh disekat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani tidak menafikan berlaku masalah faktor tekanan dan bekalan air, namun perkara itu berjaya diatasi dengan air dari jentera bomba serta sumber terbuka iaitu sungai.

Pihak bomba telah bertungkus-lumus menyelamatkan dan mengawal kebakaran daripada merebak dengan lebih luas meskipun dalam keadaan api yang sangat marak.

Pada masa sama katanya, pendawaian elektrik turut dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengelakkan berlakunya litar pintas dan merebak ke bangunan lain.

Di sebalik kemusnahan 33 premis itu, JBPM sebenarnya telah berjaya menyelamatkan lebih 30 unit premis lagi termasuk sebuah dewan, bangunan tandas awam, bangunan kedai yang menempatkan 3D Gallery dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Keadilan dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lembing yang berjarak kurang dua meter daripada bangunan yang sedang terbakar.

Meskipun kebakaran memusnahkan tiga blok bangunan, namun jauh lebih utama, kecekapan pasukan JBPM dan bomba sukarelawan dalam mengawal kebakaran itu dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan harta benda berhampiran.

Sejarah

Tragedi itu bagaimanapun membongkar rahsia kepada generasi baharu bahawa negara ini pernah mempunyai kawasan lombong bijih timah yang pernah maju di era pemerintahan British.

Kawasan itu dulu dikenali sebagai pekan perlombongan kerana di situlah wujudnya sebuah lombong bijih timah yang terdalam di dunia.

Ia hanya sebuah pekan kecil yang terletak di dalam daerah Kuantan, Pahang dan mungkin hanya dikenali kalangan warga tempatan.

Penduduk yang juga Pengerusi Perpustakaan Sungai Lembing, Chew Yee Yim, 69, berkata, pekerja lombong di kampung itulah yang membina sendiri perpustakaan tersebut yang menyimpan khazanah lama dan peralatan melombong berusia 100 tahun.

Sayangnya, semua itu kini tinggal kenangan akibat kemusnahan 98 peratus bangunan dan isi perpustakaan tersebut.

*Nor Khalilah Gusti Hassan ialah wartawan Sinar Harian Pahang