Harimau terkam Garuda

Foto FAM
Foto FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya memulakan aksi sulung Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan langkah kanan apabila membenam Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno malam tadi.

Mohamadou Sumareh muncul wira apabila meledak gol kemenangan Harimau Malaya pada penghujung perlawanan.

Terdahulu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang dilihat agak tenggelam pada babak pertama dengan corak permainan pantas tuan rumah ketinggalan hasil jaringan penyerang berbisa Indonesia, Alberto Goncalves seawal minit ke-12.

Begitupun, Sumareh berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37, hanya beberapa saat dimasukkan bagi menggantikan Hadin Azman.

Namun, kegembiraan kem Harimau Malaya tidak kekal lama apabila Goncalves kembali meletakkan skuad Garuda mendahului menerusi jaringan pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya mula memperkemaskan corak permainan sehingga berjaya menyaingi jentera skuad kendalian Simon McMenemy.

Hasilnya gol yang dicari anak-anak ubah Cheng Hoe hadir pada minit ke-66 apabila Syafiq Ahmad bijak menyudahkan hantaran lintang Safawi Rasid bagi menyamakan kedudukan 2-2.

Artikel Berkaitan:

Aksi terpaksa dihentikan pada minit ke-69 apabila segelintir penyokong Garuda mula menyerang tempat duduk penyokong Harimau Malaya apabila mereka membaling botol dan suar.

Pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin meneruskan perlawanan selepas pihak berkuasa Indonesia berjaya mengawal keadaan sebelum Sumareh menoktahkan kebangkitan luar biasa Harimau Malaya dengan gol pada minit ke-97.