KBS, MSN sentiasa pertahan pilihan atlet

Syed Saddiq - Foto sumber internet
Syed Saddiq - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa mempertahankan hak setiap atlet yang memilih sukan tertentu untuk mewakili negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian dan MSN lebih menumpukan kepada sumbangan atlet kepada negara berbanding mengaitkan mereka dengan perkara lain yang boleh menjejaskan kerjaya sukan.

“Sukan sepatutnya dijadikan alat untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia dan pada masa sama kita hendak pastikan sukan ini betul-betul inklusif contohnya, bagi mereka yang memilih untuk memakai hijab, mereka harus dibela dan diberikan tempat. Begitu juga sebaliknya.

“Pendirian saya adalah untuk mempertahankan atlet, kita hendak pastikan bahawa tidak kira apa pun latar belakang mereka, pilihan mereka, KBS dan MSN tetap akan jadi ‘rumah’ kepada mereka. Tidak kira sukan apa yang dia sertai, selagi dia membawa bendera Malaysia, dia adalah hero dan heroin Malaysia,” katanya selepas merasmikan ruang komuniti untuk belia, Spacerubix di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mengenai keputusan negeri itu menarik diri daripada menyertai sebarang acara sukan gimnastik wanita dan gimrama kerana didakwa mengeksploitasi serta mempamerkan aksi ghairah seorang wanita.

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu tarik diri sukan gimnastik, gimrama wanita

Semalam, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan menegaskan bahawa takrifan 'ghairah' tidak pernah wujud dalam sukan gimnastik dan gimrama dan tidak harus dijadikan asas dalam dasar pembangunan sukan. - Bernama

Artikel Berkaitan: