Semua universiti awam wajib laksana Dasar Inklusif OKU

Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 20 universiti awam di seluruh negara wajib melaksanakan Dasar Inklusif orang Kurang Upaya (OKU) dan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU bermula sesi kemasukan pelajar 2019/2020.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, dasar itu dilaksanakan bertujuan menghapuskan pengasingan pelajar OKU daripada pelajar lain menerusi garis panduan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Ia juga dapat memastikan kemudahan dan sistem sokongan pendidikan berterusan diberikan kepada pekajar OKU yang berjaya mendapat tempat di universiti awam dan swasta.

“Bagaimanapun, universiti swasta digalak untuk melaksanakan garis panduan yang sama dalam memberi ruang dan peluang kepada pelajar OKU mendapat hak pendidikan sama rata dengan pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pelancaran Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kelainan Upaya di Institusi Pendidikan Tinggi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini beberapa universiti awam dan swasta menggubal dan mula melaksanakan dasar berkenaan antaranya UIAM, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia bagi universiti awam serta Universiti Nottingham bagi universiti swasta.

"Universiti berkenaan juga menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU yang memberi khidmat sokongan terutama kepada pelajar dan kakitangan OKU.

"Kita menjangkakan tempoh untuk pelaksanaan dasar itu adalah sehingga 2025 untuk semua universiti awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Maszlee berkata, pelantikan Profesor Dr Siti Zainon Ismail adalah berdasarkan merit dan pencapaian yang turut diakui aktivis sasterawan.

"Keputusan itu diiktiraf sasterawan lain kerana Siti Zainon adalah calon paling layak dan ada yang mengatakan bahawa sepatutnya beliau dapat pengiktirafan ini sejak lama dulu.

"Bagi sesiapa yang mengenali beliau, beliau bukan sekadar seorang sasterawan, beliau juga budayawan dan pelukis terkenal yang banyak berjasa kepada negara," katanya.

Katanya sebagai mengulas pelantikan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang diibaratkan oleh seorang lagi sasterawan sebagai 'samun siang hari',

Semalam, Tokoh Sasterawan Perak Dr Malim Ghozali dipetik laporan media mendakwa pencalonan itu dicemari dengan campur tangan politik dimanupulasi dan diseleweng mereka yang tiada kepakaran dalam menjadi juri.

Dr Malim turut mendakwa keputusan pemilihan penerima anugerah itu dibuat 'sebulat suara' jauh lebih awal iaitu kira-kira enam bulan lalu iaitu pada 28 Mac lalu. - Bernama