Jangan politikkan tabung wakaf Pulau Pinang

Amran Hazli
Amran Hazli
A
A
A

NILAI - Isu berkaitan penubuhan tabung wakaf yang menuntut 10 peratus sumbangan daripada masjid di Pulau Pinang tidak perlu dipolitikkan kerana ia bertujuan membantu ekonomi umat Islam di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazli berkata, penubuhan tabung wakaf itu bagi menguatkan ekonomi umat Islam di Pulau Pinang dan inisiatif itu dilakukan bagi membolehkan wakaf Pulau Pinang kukuh dengan dana yang lebih mantap bagi projek untuk manfaat umat Islam.

"Sebab itu saya fikir isu ini tidak perlu dipolemik atau dipolitikkan kerana akhirnya manfaat itu dapat dinikmati masyarakat Islam di Pulau Pinang," katanya selepas program Muzakarah Zakat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penularan sekeping surat pekeliling bertarikh 26 Jun lalu di media sosial yang meminta sumbangan 10 peratus itu setiap bulan untuk diserahkan kepada tabung wakaf.

Menurutnya, orang ramai juga seharusnya memberi ruang dan peluang kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk memberi penjelasan serta meminta masyarakat supaya memahami objektif penubuhan tabung berkenaan.

"Biasalah, perkara baru yang ingin dilakukan, reaksi awal itu kerana tidak mendapat maklumat yang secukupnya tetapi lama kelamaan apabila maklumat sudah diberi secara jelas, saya fikir semua boleh menerima.

"Harus diingat ini bukan untuk sesiapa tetapi untuk kepentingan orang Islam di Pulau Pinang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: