Pinjam duit Jho Low AS$200,000 untuk beli rumah

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa beliau ada meminjam AS$200,000 daripada ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho, atau Jho Low pada 2010 tanpa sebarang perjanjian bagi tujuan membeli sebuah rumah bernilai RM1.85 juta di Kota Damansara.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata wang itu telah dipindahkan ke akaun Maybank beliau oleh Jho Low menerusi sebuah syarikat, iaitu Alsen Chance Holdings Limited.

“Saya ada bertanya banyak orang untuk meminjam wang termasuk Jho Low, dan akhirnya dia (Jho Low) yang secara sukarela memberikan saya wang. Saya ada meminta Jho Low untuk meminjamkan saya wang buat sementara sahaja memandangkan saya hendak menjual sebuah rumah lain yang juga terletak di Kota Damansara,” katanya semasa diperiksa balas oleh ketua pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelima perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada beliau ada mencuba untuk meminjam wang daripada Bank Negara Malaysia atau institusi-institusi lain, saksi itu berkata, “Saya tak boleh. Saya tak layak".

Amhari Efendi yang juga seorang daripada pengarah ORB Solutions Sdn Bhd dan juga pengarah Khazanah Nasional Berhad pada masa itu, memperoleh gaji kira-kira RM75,000 sebulan pada masa itu,

Muhammad Shafee: Adakah Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kamu berkaitan jumlah ini (AS$200,000)? Adakah ini perkara yang disiasat?

Amhari Efendi: Saya telah mengisytiharkannya kepada SPRM semasa suruhanjaya itu merakamkan keterangan saya.

Ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada Amhari Efendi ada menyatakan mengenai perkara ini (AS$200,000) dalam penyataan saksinya, saksi itu menjawab “Tidak”.

Artikel Berkaitan:

Memberikan penjelasan lanjut berkenaan wang yang dipinjamnya daripada Jho Low, saksi pendakwaan kelapan itu berkata dia tidak pernah membayar balik pinjaman kepada Jho Low itu kerana beliau gagal menjual rumahnya yang juga terletak di Kota Damansara.

"Saya ada memberitahunya bahawa saya boleh memindahkan rumah lama itu kepada nama beliau, bagaimanapun Jho Low berkata 'tak apalah, ambillah masa'," kata Amhari Efendi yang menambah pinjaman daripada Jho Low itu adalah pinjaman baik.

Mengenai isu larangan perjalanan ke atasnya, saksi itu berkata SPRM telah melepaskannya daripada larangan mengadakan perjalanan pada Oktober tahun lepas, bagaimanapun agensi pencegahan rasuah itu telah mengenakan semula larangan itu ke atasnya pada Januari tahun ini,

"Saya telah membuat rayuan untuk mendapatkan pelepasan daripada larangan mengadakan perjalanan kerana saya hendak ke luar negara kerana terdapat beberapa orang daripada ahli keluarga saya berada di luar negara," katanya.

Ketika ditanya sama ada polis ada menyiasatnya atau tidak, saksi itu juga berkata beliau disiasat di bawah jenayah perdagangan oleh polis.

Apabila ditanya mengenai pengalamannya ketika ditahan dalam lokap SPRM, saksi itu berkata beliau dapat tidur lena tetapi atas lantai.

"Saya dilayan dengan baik. Hujung berhantu sikit," katanya menyebabkan hadirin dalam mahkamah ketawa.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa.- Bernama