Kebocoran Ammonia: Melaka pantau keselamatan sumber air, bahan kimia

Adly
Adly
A
A
A

MELAKA TENGAH - Keselamatan sumber air dan bahan kimia terutama di kawasan perindustrian adalah aspek utama dipantau kerajaan Melaka bagi memastikan insiden kebocoran gas ammonia di Jasin dekat sini yang memudaratkan rakyat Selasa lalu tidak berulang.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, aspek itu perlu diberi perhatian dalam pemantauan dilaksana Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka terutama bagi kawasan perindustrian yang terletak berhampiran penempatan awam sekitar negeri ini.

“Kita mengambil iktibar kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor bagi memastikan kejadian tidak dingini seperti pencemaran air dan udara sehingga boleh memudaratkan kesihatan dan nyawa masyarakat tidak berlaku di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meminta penilaian daripada semua agensi yang terlibat dengan mengambil kira beberapa faktor seperti keselamatan dan sebagainya sebelum kilang itu dibenarkan beroperasi semulai.

“Kita tidak perlu perketatkan syarat atau prosedur yang sedia ada, apa yang lebih penting adalah pihak kilang mematuhi apa yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengadakan satu lagi kategori anugerah khas Maal Hijrah, selain sembilan kategori pada masa ini, bagi menghargai sumbangan masyarakat bukan Islam dalam kesejahteraan masyarakat.

“Anugerah khas Maal Hijrah akan diteruskan setiap tahun agar lebih ramai masyarakat boleh diktiraf dari segi sumbangan dan juga sebagai motivasi kepada mereka terus bagi sumbangan kepada negeri dan negara,” katanya.

Selasa lalu, sebuah kilang pemprosesan ayam HLRB Processing Sdn Bhd di Jasin mengalami kebocoran gas ammonia pada jam 11.40 pagi menyebabkan 33 pekerjanya dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata serta sesak nafas dan kilang itu diarah menutup operasinya buat sementara.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Ummah dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1441/2019 Peringkat Melaka di Ayer Keroh dirasmikan Yang Dipertua Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang menyaksikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dianugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka 1441H/2019M. - Bernama