Boikot barangan beri kesan kepada sektor pekerjaan

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

KOTA BHARU - Kempen boikot barangan tertentu dilihat boleh memberi kesan terutama kepada sektor pekerjaan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tindakan itu menjejaskan rantaian pengeluaran yang akan menyebabkan pengeluar mengurangkan pengeluaran barangan sekali gus boleh menjejaskan pekerja.

"Contoh paling mudah, apabila kurang permintaan untuk barangan dikeluarkan oleh syarikat tertentu, secara umumnya apa yang berlaku? Syarikat akan mengurangkan pengeluaran dan pekerja akan terkesan.

"Rantaian dalam bekalan itu panjang dan menyeluruh, jadi apa yang perlu kita insafi adalah kesan (boikot) itu adalah kesan kepada negara," katanya selepas Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Kelantan Bagi Penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Bilik Gerakan, Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan negeri, Nazran Muhammad.

Semalam, Jemaah Menteri dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.

Jemaah Menteri dalam kenyataan itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: