Jabatan Pendidikan Tinggi pandang serius isu penjualan SSLN palsu

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan memandang serius isu penjualan dan pengeluaran Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) palsu.

Menurut satu kenyataan, SSLN dikeluarkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara yang menepati syarat kelayakan minimum.

Jelasnya, syarat kelayakan minimum SSLN adalah berdasarkan kepada syarat minimum yang telah ditetapkan oleh badan-badan profesional di negara ini.

"Tujuan SSLN diperkenalkan adalah sebagai salah satu kaedah untuk memastikan kualiti pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara benar-benar layak daripada segi akademik.

"Pihak Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, melalui Bahagian Education Malaysia adalah bertanggungjawab dalam mengeluarkan SSLN ini secara percuma kepada pelajar yang memenuhi syarat minimum tanpa melibatkan sebarang penglibatan daripada pihak luar seperti ejen dan sebagainya," katanya di sini hari ini.

Semenjak diperkenalkan dari tahun 2003 sehingga 2018, sebanyak 36,044 SSLN telah dikeluarkan manakala dari Januari hingga Ogos 2019, sejumlah 566 permohonan SSLN telah diterima dan diproses.

Mengenai isu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti kursus perubatan di luar negara melalui pembiayaan sendiri tanpa memperoleh SSLN dari KPM, jabatan itu menjelaskan ia adalah di luar kawalan mereka.

"Ini adalah kerana ia bergantung kepada syarat-syarat kelayakan universiti terbabit," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal tahun 2019, Jabatan Pendidikan Tinggi telah menambah baik dan memperhalusi proses permohonan dan pengeluaran SSLN melalui beberapa siri perbincangan bersama badan-badan profesional.

Justeru itu, mekanisme ciri-ciri kawalan dan keselamatan ke atas SSLN akan ditambah baik dari masa ke semasa bagi mengelakkan isu pemalsuan SSLN.