Projek inovasi beri manfaat kepada rakyat Pahang

Norol Azali (lima, kanan) bersama juara dalam pertandingan inovasi pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA) dan hari Inovasi Peringkat Pahang di Bukit Gambang Resort City hari ini.
A
A

KUANTAN - Beberapa projek inovasi yang dihasilkan oleh agensi kerajaan negeri telah memberi kesan positif dan manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara projek yang memberi impak besar kepada rakyat ialah projek Transit Killer Rat, Mobil Mussollah dan Sistem e-Perumahan.

Menurutnya, kesemua projek itu dilihat memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat di negeri ini.

“Kalau kita lihat projek inovasi Transit Killer Rat seliaan MPK direkacipta bagi membantu dalam mengurangkan populasi tikus dan Mobil Mussollah pula projek Hibrid MPK dengan Telaga Biru pula mampu mengatasi masalah kekurangan tempat solat di kawasan tumpuan ramai seperti pasar malam serta stadium.

“Bagi sistem E- Perumahan yang di urus Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Pahang pula membantu rakyat memudahkan permohonan secara dalam talian sebagai projek perumahan di bawah peruntukan kerajaan. Saya lihat semua inovasi ini membantu rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Teks ucapan itu dibacakan wakil Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bagi mewakili Wan Rosdy.

Majlis perasmian program berkenaan turut disempurnakan oleh Norol Azali.

Sebanyak 26 kumpulan menyertai pertandingan KIK pada kali ini manakala untuk Hari Inovasi pula, penyertaan yang diterima adalah sebanyak 41 yang melibatkan pelbagai agensi di seluruh Pahang.

Wan Rosdy berkata, dalam menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada rakyat, penjawat awam perlu mencari kaedah baik melalui cetusan idea kreatif dan inovasi serta diterjemahkan ke dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

Jelasnya, justeru penjawat awam seharusnya berfikiran kritis dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif serta inovatif di luar kelaziman.

"Pembudayaan inovasi ini juga perlu diadaptasi dalam budaya kerja seharian dan ia selari dengan hasrat kerajaan yang mahu mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah perkhidmatan bertaraf dunia.

"Jadi, usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterap dengan lebih pantas menerusi penjanaan lebih banyak idea-idea baharu untuk dilaksanakan ke dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri bagi memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, inovasi yang dihasilkan hendaklah berupaya menambah nilai output semasa dan membawa transformasi dan perubahan kepada amalan sedia ada.

Wan Rosdy turut menambah, sebagai peneraju inovasi, penjawat awam perlu berani mencari penambahbaikan baharu dan berani mencabar status quo.

“Di situ letaknya keunggulan dan martabat ilmu dengan berfikir di luar lingkungan kotak agar inovasi berimpak tinggi dapat dihasilkan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia